
ALOR SETAR: Kenaikan kadar baharu tarif air sebanyak 6 sen merupakan keperluan serta langkah penting bagi memastikan Syarikat Air Darul Aman (SADA) dapat mencatat keuntungan, seterusnya mampu membayar hutang air negeri.
Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, berkata, kenaikan itu tidak membebankan rakyat kerana kadar baharu sebanyak 81 sen bagi penggunaan 20 meter padu pertama masih jauh lebih rendah berbanding negeri lain.
Malah menurutnya, kenaikan itu bukan melibatkan negeri Kedah sahaja sebaliknya 10 lagi operator negeri lain juga berlaku kenaikan seumpama.
“Berdasarkan rekod SADA, keuntungan selepas cukai pada tahun 2010 adalah sebanyak RM12.1 juta dan meningkat sehingga 2012.
“Keuntungan SADA menurun kepada RM22.9 juta pada 2013, RM21.2 juta (2014), RM13.1 juta (2015), RM6.1 juta (2016), RM450,000 (2017) seterusnya kepada RM31,000,” tegasnya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah di Wisma Darul Aman, hari ini.
Jelas beliau lagi, pada 2019, SADA mencatatkan kerugian RM36 juta tetapi sebaik sahaja Perikatan Nasional (PN) mengambil alih Kedah pada 2020, pihaknya melakukan reformasi operasi SADA bermula Mei, dan syarikat tersebut kembali mencatat keuntungan sebanyak RM149,000.
Sejak itu ujarnya, SADA terus mencatat keuntungan, bermula dari 2021 sebanyak RM29.5 juta sehingga 2024 (RM41.5 juta), dan unjuran tahun ini sebanyak RM80 juta.
“SADA kena untung kerana nak bayar hutang. Saya perlu pastikan pelan perniagaan kita mampu bayar hutang air supaya negeri ini terus mendapat haknya,” katanya lagi.
Sanusi (PN-Jeneri) berkata demikian bagi menjelaskan persoalan diajukan oleh Bau Wong Bau Ek (PH-Sidam) pada sesi soalan lisan yang mempertikaikan keperluan menaikkan tarif air di Kedah memandangkan SADA kini telah mencatat keuntungan.
Dalam pada itu, Sanusi turut menempelak sikap Kerajaan Persekutuan yang lebih menyasarkan negeri ditadbir oleh PN dalam isu kenaikan tarif air, sedangkan terdapat 10 operator air negeri lain turut memohon perkara sama.
Media katanya, seolah-olah dikawal Kerajaan Persekutuan dengan menumpukan isu berkenaan kepada empat negeri SG4, sedangkan ada negeri yang hutangnya dengan Tenaga Nasional Berhad (TNB) hampir mencecah RM700 juta.
“Kalau jujur kenapa tak cerita semua sekali” soal beliau menegaskan semua pihak perlu faham bahawa kuasa eksekutif bekalan air bersih adalah di bawah Kerajaan Persekutuan iaitu melalui Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) sepertimana diperuntukkan Seksyen 3 Akta Industri Perkhidmatan Air 2006.
Setiap rancangan perniagaan operator air ujarnya, dikawal SPAN, malah suruhanjaya itu berhak mengambil alih pengurusan operator air sekiranya pendapatan tidak mencukupi untuk menampung hutang.
Jelasnya, infrastruktur bekalan air di negeri ini sedang dipertingkatkan secara berperingkat dan sebarang kelewatan atau kegagalan membayar hutang akan membawa risiko besar kepada negeri.
“Jika bekalan air terawat diambil alih dengan mengubah jadual kesembilan Perlembagaan Persekutuan, negeri hanya tinggal sumber air, parit dan terusan saja sebab bekalan air bersih telah ditakluk oleh Persekutuan.
“Hanya ada tiga perkara kekal di bawah kuasa dan milik Kerajaan Negeri, iaitu air, tanah, hutan dan agama bawah naungan Sultan. Kalau air pun diambil alih, habislah kedaulatan negeri ini.
“Sebab itu kita usaha bayar hutang air dan kekalkan operator air SADA,” jelas beliau lagi. – HARAKAHDAILY 20/8/2025











