
BACHOK: Sektor pertanian kekal penting dan menjadi penyumbang kedua terbesar ekonomi Kelantan iaitu lebih 20 peratus kepada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK), selepas sektor perkhidmatan yang mencatat lebih 69 peratus.
Menteri Besar Kelantan, Dato’ Panglima Perang Ustaz Dato’ Mohd Nassuruddin Daud, berkata, perkembangan positif itu menunjukkan sektor pertanian terus menjadi tonggak penting kepada ekonomi negeri.
“Pertanian adalah sumber kekuatan ekonomi Kelantan yang bukan sahaja menyumbang lebih 20 peratus kepada KDNK, malah menjadi pemangkin kepada agenda keterjaminan makanan negeri.
“KDNK agromakanan dan pengeluaran hasil pertanian sentiasa meningkat hasil usaha berterusan jabatan, agensi serta penglibatan peladang, penternak dan nelayan,” katanya.
Beliau menyatakan demikian ketika berucap merasmikan Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan bertemakan Usaha Tani Sumber Kehidupan Pertiwi, di sini hari ini.
Menurut beliau, program itu adalah salah satu inisiatif kerajaan negeri bagi memberi pendedahan ilmu, perkongsian pengalaman serta penemuan baharu dari segi kaedah dan teknik kepada rakyat Kelantan.
“Usaha ini bukan hanya tertumpu kepada peladang, penternak dan nelayan sahaja, sebaliknya turut melibatkan anak muda untuk menceburi bidang pertanian, penternakan dan perikanan.
“Prospek masa hadapan untuk anak-anak muda dalam bidang ini cukup terbuka luas dengan pelbagai kejayaan telah dibuktikan,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti.
Nassuruddin berkata, agenda Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) dalam bidang pertanian kini semakin mendapat perhatian penting di peringkat nasional dan Kelantan turut menjadi peneraju usaha tersebut.
Katanya, inisiatif TVET di bawah Kumpulan Pertanian Kelantan Berhad (KPKB) melibatkan pondok dan sekolah tahfiz swasta juga sudah menunjukkan keberhasilan yang membanggakan.
“Awal Ogos lalu, Majlis Pelancaran TVET Negeri Kelantan sempena Graduasi TVET Pertanian Pondok dan Tahfiz telah mengiktiraf seramai 103 pelajar dengan Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) Tahap 3.
“Antaranya pelajar dari SMITI Tahfiz Tok Guru Pasir Puteh, Pondok Al-Fununiah Tunjung, Maahad Tahfiz Daril Ulum Meranti, Pondok Seligi Pasir Puteh dan Yayasan Kebajikan Anak-anak Yatim Kelantan Tanjong Chat,” jelasnya.
Dalam masa sama, beliau berkata Kelantan beriltizam untuk terus membangunkan sektor pertanian bagi memastikan keterjaminan makanan negara.
“Perubahan iklim, krisis geopolitik dan sekatan eksport sangat memberi kesan kepada semua, terutama dari segi ekonomi dan survival rakyat.
“Maka Kelantan wajar sentiasa peka serta menggerakkan pelbagai inisiatif, program dan projek bagi menjana keterjaminan makanan negeri dan negara,” katanya.
Beliau turut menyebut projek tanaman bawang di Taman Kekal Pengeluaran Makanan Bachok yang telah menghasilkan tuaian pertama sebanyak 18.4 tan sebagai bukti keberhasilan usaha kerajaan negeri.
“Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Negeri Kelantan yang bertemakan Usaha Tani Sumber Kehidupan Pertiwi amat menepati hasrat kerajaan.
“Konsep pelaksanaan program sebegini perlu sentiasa ditambah baik supaya pelaksanaannya selari dengan keperluan semasa dan golongan sasar,” katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Kaya Perkasa Dato’ Dr Tengku Mohamed Faziharudean Tengku Feissal dan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Agromakanan dan Komoditi, Dato’ Tuan Saripudin Tuan Ismail. – HARAKAHDAILY 20/8/2025




















