
ALOR SETAR: Festival Muzium Antarabangsa Peringkat Kebangsaan 2025 (FHMAPK 2025) yang berlangsung selama seminggu di Kedah berakhir dengan penuh gilang-gemilang malam kelmarin, mencatat kehadiran lebih 100,000 pengunjung dari seluruh negara.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Keusahawanan Negeri Kedah Darul Aman, Dato’ Mohd Salleh Saidin menyifatkan FHMAPK 2025 sebagai medan penyatuan rakyat pelbagai kaum melalui semangat menghargai sejarah dan warisan budaya negara.
“Festival ini bukan sekadar menghimpunkan sejarah dan budaya, tetapi turut menyatukan hati rakyat berbilang kaum dengan semangat yang sama, menghargai warisan negara,” katanya.
Beliau turut menyifatkan angka rasmi kehadiran seramai 104,547 pengunjung sepanjang seminggu festival bukan sekadar statistik, tetapi melambangkan minat rakyat yang semakin membara terhadap sejarah, budaya dan khazanah warisan.
Majlis Penutupan Rasmi disempurnakan oleh Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam satu Majlis Makan Malam Penutupan FHMAPK 2025.
Ia turut dihadiri oleh pimpinan negeri, wakil jabatan kerajaan, penggiat seni budaya, serta para sukarelawan dan warga kerja festival.
FHMAPK 2025 mengetengahkan lima komponen utama iaitu alam semula jadi, gastronomi, seni dan budaya, sejarah serta pengalaman komuniti yang menurut Mohd Salleh telah berjaya mencipta daya tarikan luar biasa kepada pengunjung.
“Ramai yang mengaku melakukan kunjungan berulang kerana tertarik dengan kepelbagaian program dan pengisian festival,” jelas beliau.
Sebagai Pengerusi Lembaga Muzium Negeri Kedah, beliau sendiri mengikuti rapat perjalanan festival dari awal hingga akhir dan bersyukur segala perancangan berjalan lancar dengan penuh semangat dan komitmen semua pihak.
Beliau turut merakamkan penghargaan tulus kepada seluruh warga kerja Muzium Negeri Kedah kerana bekerja keras siang dan malam menjayakan festival, menjadikan FHMAPK 2025 sebagai acara bertaraf nasional yang cemerlang.
“Saya amat terharu dan bersyukur atas segala bentuk sokongan, kerjasama dan komitmen yang telah ditunjukkan oleh pelbagai pihak. Terima kasih tidak terhingga juga kepada Jabatan Muzium Malaysia atas segala bentuk dukungan,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan rasa bangga dengan penglibatan para penggiat seni, budayawan dan sukarelawan yang mewarnai festival dengan jiwa serta kreativiti mereka, menjadikan acara ini bukan sekadar sambutan tetapi juga satu penghayatan bersama terhadap sejarah dan budaya negara.
Mohd Salleh berharap kejayaan FHMAPK 2025 akan menjadi pemangkin kepada usaha berterusan mengangkat institusi muzium dan warisan budaya sebagai aset penting dalam membina jati diri bangsa.
“Semoga kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kita terus mengangkat muzium dan warisan budaya sebagai aset penting dalam pembangunan jati diri bangsa,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/7/2025




















