
KANGAR: Dewan Pemuda PAS Negeri Perlis terus membuktikan komitmen mereka dalam mendukung pembangunan belia dan sukan tanah air apabila tampil menyatakan sokongan penuh terhadap pasukan bola sepak kebanggaan negeri, Perlis GSA FC.
Sebagai tanda dokongan, Pemuda PAS Perlis telah menyumbangkan tunai sebanyak RM500 kepada pasukan tersebut yang kini bersaing dalam Malaysia A1 Semi-Pro League 2025–2026.
Sumbangan itu turut disusuli dengan RM200 tambahan daripada Ketua Pemuda, Haziq Asyraf Dun, menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM700.
“Kami percaya Perlis GSA FC mampu menjadi kebanggaan rakyat Perlis dan membawa semula semangat Singa Utara ke pentas bola sepak negara. Pemuda akan terus berdiri bersama usaha yang membina jati diri dan semangat anak muda negeri ini,” ujar beliau.
Tambahnya, Pemuda PAS Perlis menyambut baik segala usaha ke arah mampu menyatukan rakyat serta mengangkat semula panji-panji kegemilangan Singa Utara yang pernah digeruni suatu ketika dahulu.
Turut hadir dalam sesi penyerahan sumbangan ialah Timbalan Ketua Pemuda, Ahmad Adib Akhyar Aminarrashid dan Pengarah Jabatan Seni, Budaya dan Sukan (DACS), Mohd Noor Safri Cha dan dan Penyelaras Pusat Khidmat Menteri Besar DUN Indera Kayangan, Khairul Md Nopiah.
Sokongan ini selari dengan agenda Pemuda PAS dalam membina generasi muda yang seimbang dari aspek spiritual, intelektual dan fizikal.
Perlis GSA FC akan beraksi menentang Kedah FA dalam Liga A1 Semi-Pro pada Sabtu ini di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar.
Dalam pada itu, Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli turut menyeru peminat bola sepak Perlis hadir beramai-ramai untuk memberi sokongan padu kepada Perlis GSA FC.
“Jom beramai-ramai penuhkan stadium Sabtu ini 2 Ogos 2025 menyaksikan perlawanan pembukaan Liga A1 antara Perlis dan Kedah.
“Saya mengharapkan kehadiran YAB Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor bagi melihat sendiri ngauman Singa Utara. Semoga bola sepak Perlis kembali bersinar,” usik beliau di Facebook rasminya. – HARAKAHDAILY 31/7/2025











