
KOTA BHARU: Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK) melakar satu lagi langkah ke hadapan dalam memperkukuh budaya infak digital dengan memeterai kerjasama strategik bersama Syarikat SecurePay Sdn Bhd.
Kerjasama itu menyaksikan pelaksanaan dua sistem kutipan sedekah dalam talian menerusi pembangunan sistem e-Jariah Masjid dan Kempen Sedekah Seriya Sehari.
Majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi inisiatif tersebut disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua MAIK, Dato’ Mohd Anis Hussein dan Pengarah Eksekutif SecurePay Sdn Bhd, Datuk Ts Amir Haris Ahmad.
Ia turut disaksikan oleh Tengku Temenggong Kelantan merangkap Yang Dipertua MAIK, Tengku Tan Sri Dato’ Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz.
Menerusi program tanggungjawab sosial korporat (CSR), SecurePay menyumbang pembangunan sistem bernilai RM460,000 bagi memperkasa kutipan infaq secara lebih telus dan berkesan.
Sistem e-Jariah Masjid akan melibatkan 621 masjid seluruh Kelantan termasuk masjid negeri, masjid bandar, masjid jajahan dan masjid mukim.
Inisiatif kedua pula ialah Kempen Sedekah Seriya Sehari yang menggalakkan sumbangan minimum RM1 sehari kepada Dana Awam Baitulmal MAIK tanpa mengira lokasi atau kedudukan penyumbang.
Menurut MAIK, platform itu boleh diakses melalui laman sesawang serta aplikasi mudah alih dengan kemudahan pembayaran FPX secara masa nyata dan resit transaksi automatik kepada penyumbang.
“Platform ini turut menyediakan fungsi carian masjid mengikut lokasi serta ‘dashboard’ pemantauan kepada pengurusan MAIK untuk memastikan ketelusan dan kecekapan sistem,” katanya.
Pelancaran rasmi platform e-Jariah Masjid telah diadakan pada 20 Februari 2025 sempena Sidang Media Laporan Khas Kutipan dan Agihan MAIK di Dewan Bunga Emas, Hotel Perdana.
MAIK menyatakan inisiatif ini akan memudahkan masyarakat menyalurkan sedekah secara konsisten dan menyemai budaya infak berterusan yang memberi impak besar kepada kesejahteraan umat.
“Kempen Sedekah Seriya Sehari walaupun hanya menyasarkan sumbangan RM1 sehari, ia mampu memberi manfaat besar kepada golongan yang memerlukan tanpa mengira latar belakang agama dan kaum,” ujarnya.
Datuk Ts Amir Haris pula berkata, penyediaan platform tersebut selari dengan aspirasi pendigitalan pengurusan dana kebajikan Islam serta memperluas capaian sumbangan kepada masyarakat global.
MAIK turut merakamkan penghargaan kepada SecurePay atas sumbangan signifikan itu yang diyakini mampu memperkukuh sistem tadbir urus sedekah di negeri ini.
Langkah ini turut diyakini mampu meningkatkan kepercayaan masyarakat terhadap ketelusan pengurusan dana awam berasaskan prinsip syariah. – HARAKAHDAILY 31/7/2025











