Perlu ditunjangi pelaksanaan jujur, reformasi berani

Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13)

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Ekonomi Perikatan Nasional (PN), Mohd Syahir Che Sulaiman berpandangan bahawa kejayaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) tidak bergantung kepada keindahan perancangan semata-mata.

Jelas beliau, sebaliknya mesti ditunjangi kejujuran politik, ketelusan pelaksanaan serta kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf semak dan imbang serta mendengar suara rakyat dan negeri.

Menurutnya, RMK13 dibentangkan pada saat Malaysia sedang menghadapi pelbagai cabaran seperti pertumbuhan global yang perlahan, ketidaktentuan geopolitik, beban kos sara hidup, keperluan peralihan tenaga dan realiti negara menua menjelang 2030.

“Maka, tidak dapat dinafikan bahawa RMK13 perlu menjadi pelan pembangunan nasional yang bukan sahaja menyeluruh, tetapi mampu menangani persoalan struktur yang telah lama membelenggu ekonomi negara, seterusnya meningkatkan kesejahteraan hidup rakyat,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.

Menurut beliau, secara asasnya RMK13 membawa aspirasi untuk mengangkat Malaysia sebagai negara berpendapatan tinggi yang mampan dan terangkum, dengan kerangka tujuh Aspirasi Ekonomi Madani, tiga Teras, empat Tonggak dan 27 Keutamaan.

Namun begitu katanya, persoalan utama bukanlah pada jumlah aspirasi atau keindahan naratif, tetapi pada kekuatan struktur, kejelasan pelaksanaan dan kejujuran politik dalam melaksanakan reformasi sebenar.

Dari sudut pembangunan wilayah, terang Ahli Parlimen Bachok itu, RMK13 menunjukkan komitmen umum terhadap pembangunan seimbang antara negeri.

Namun menurutnya, tidak seperti RMK12 yang menyatakan secara jelas komitmen 50 peratus perbelanjaan pembangunan (DE) terhadap enam negeri kurang membangun.

RMK13 jelasnya, tidak menetapkan sebarang formula agihan fiskal atau sasaran kuantitatif kepada negeri seperti Sabah, Sarawak, Kelantan, Terengganu, Kedah dan Perlis.

“Lebih membimbangkan, RMK13 tidak menyentuh langsung soal reformasi hubungan fiskal Persekutuan-Negeri, isu perkongsian hasil cukai dan hasil mineral seperti petroleum yang dituntut negeri, serta usaha pengukuhan federalisme yang lebih matang dan adil.

“Sedangkan ini merupakan antara punca utama jurang pembangunan wilayah yang semakin melebar. Pembangunan yang adil tidak boleh berlaku jika suara negeri terus disisih daripada proses perancangan dan pelaksanaan,” dedahnya.

Beliau turut menyentuh kelemahan struktur ekonomi, dengan menyatakan bahawa walaupun RMK13 mengakui cabaran seperti ketidaksamaan pendapatan, gaji buruh yang rendah, dan kebergantungan kepada pelaburan langsung asing (FDI), namun pelan itu tidak membawa reformasi berani.

“Malah tiada penekanan dalam RMK13 terhadap isu pemilikan ekonomi rakyat, terutamanya bagi golongan Bumiputera, luar bandar dan pekerja informal.

“Ini berbeza dengan Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 (WKB2030) berteraskan prinsip ‘tiada siapa tertinggal’, secara langsung memperjuangkan pemerkasaan ekonomi Bumiputera dan pengagihan kekayaan yang lebih adil,” katanya.

Tambah beliau, ketiadaan naratif peningkatan pemilikan rakyat menjadikan RMK13 seperti pelan pertumbuhan yang eksklusif kepada pemodal, tetapi kurang inklusif kepada rakyat terbanyak, sekali gus melebarkan jurang perbezaan dalam negara.

“RMK13 menimbulkan beberapa persoalan asas yang masih belum terjawab secara tuntas. Adakah ekonomi negara kekal dengan model pertumbuhan berasaskan hutang dan pemilikan asing, sedangkan pertumbuhan yang mampan menuntut pemerkasaan bakat, teknologi dan pemilikan ekonomi rakyat sendiri?

“Reformasi pendidikan yang dicadangkan masih perlu diperhalusi dengan mengambil kira input semua pihak berkepentingan, bagi mencapai matlamat sosio-ekonomi yang digariskan,” kupasnya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada kerangka perlindungan dan bantuan bersasar dalam konteks pengurangan subsidi dan peluasan cukai benar-benar mencerminkan situasi isi rumah terbeban.

“Dan dalam menghadapi realiti negara menua menjelang 2030, apakah strategi jangka panjang RMK13 untuk meningkatkan produktiviti, menyediakan jaringan sokongan warga emas, serta merangka dasar buruh yang progresif dan lestari? Persoalan-persoalan ini menuntut penjelasan dasar yang lebih jujur dan menyeluruh,” desaknya.

Menurutnya, sebagai blok pembangkang yang bertanggungjawab, PN komited untuk mengambil bahagian secara aktif, kritikal dan membina dalam perbahasan RMK13.

“Ahli Parlimen PN akan meneliti setiap keutamaan dan teras yang dibentangkan, mencadangkan penambahbaikan terhadap aspek pelaksanaan, menuntut ketelusan dalam agihan fiskal, serta memperjuangkan hak dan suara negeri-negeri yang selama ini terpinggir dalam proses pembangunan nasional,” katanya.

PN tambahnya turut merakamkan penghargaan kepada seluruh penjawat awam dan agensi pelaksana yang telah menyumbang kepada penyediaan RMK13.

“Kami mengiktiraf bahawa kekuatan perkhidmatan awam adalah tulang belakang pelaksanaan dasar negara, dan akan menjadi penentu kejayaan sebenar RMK13 kepada rakyat.

“Justeru kejayaan RMK13 tidak bergantung kepada perancangan semata-mata, tetapi kepada kejujuran politik, ketelusan pelaksanaan, dan kesediaan kerajaan untuk mengiktiraf proses semak dan imbang, serta mendengar suara rakyat dan negeri.

“Tanpa pelaksanaan yang berani, RMK13 dikhuatiri gagal melonjakkan negara ke hadapan, sebaliknya sekadar ‘berlari di tempat yang sama’,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2025

- Advertisement -
- Advertisement -