
ALOR SETAR: Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor menyeru seluruh rakyat agar sentiasa bersyukur dan tidak melupakan jasa serta pengorbanan para pahlawan yang telah berjuang demi kemerdekaan dan kemakmuran negara.
Dalam perutusannya sempena Hari Pahlawan 2025, beliau berkata, sambutan ini bukan sekadar acara tahunan, tetapi satu peringatan penting terhadap sejarah perjuangan yang menjadi asas kepada kebebasan dan keharmonian negara dinikmati hari ini.
“Hari Pahlawan seharusnya menjadi hari besar bagi kita semua. Ini kerana tanpa perjuangan dan pengorbanan mereka, kita tidak akan dapat mengecap kemerdekaan dan kemakmuran yang kita nikmati pada hari ini,” katanya.
Beliau mengingatkan agar rakyat tidak menjadi generasi yang lupa sejarah atau bersikap alpa terhadap jasa golongan terdahulu di mana kemerdekaan dan keamanan hari ini dibayar dengan harga sangat mahal iaitu nyawa dan darah para pejuang tanah air.
“Jadilah manusia yang bersyukur dan tahu berterima kasih. Jadilah manusia yang tahu menghargai pengorbanan orang lain yang menjadikan nyawa dan kehidupan sebagai galang ganti untuk kita mendapat keamanan dan kesejahteraan hari ini,” ujarnya lagi.
Sanusi turut melahirkan kebimbangan terhadap sikap generasi hari ini yang semakin terhakis semangat menghargai pengorbanan para pejuang dan nilai-nilai patriotisme di mana perubahan zaman tidak seharusnya menjauhkan daripada asas jati diri bangsa dan perjuangan negara.
“Agak mendukacitakan apabila kita perhatikan, sikap menghargai pengorbanan para pejuang dan pahlawan kita yang terdahulu sudah semakin terhakis dalam minda generasi hari ini,” katanya.
Beliau turut menegaskan bahawa peredaran masa tidak boleh dijadikan alasan untuk melupakan sejarah perjuangan bangsa, malah, nilai-nilai itu harus dipupuk dan diwariskan kepada generasi seterusnya agar mereka tahu akar dan asas kewujudan negara.
“Perubahan masa yang menjarakkan kehidupan dengan nilai-nilai dan asas pembinaan bangsa dan tanah air tidak seharusnya membuatkan kita lupa dan mengabaikan pengorbanan mereka yang telah berjuang bermati-matian untuk memerdekakan tanah air kita yang tercinta ini,” tegasnya.
Sebagai pemimpin negeri yang sering menekankan elemen jati diri, beliau turut menyatakan bahawa menghargai jasa pejuang adalah satu bentuk manifestasi bangsa berakhlak dan bertamadun.
“Inilah nilai dan jati diri kita sebagai pewaris bangsa yang tahu menghargai jasa dan budi mereka yang telah pergi,” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Sanusi turut merakamkan penghormatan dan doa kepada para pejuang yang telah berjuang dan gugur di medan perjuangan demi membebaskan tanah air daripada cengkaman penjajahan.
“Tabik hormat saya untuk semua pejuang bangsa dan negara dari dahulu hingga sekarang. Moga Allah SWT merahmati mereka yang telah gugur di medan perjuangan. Al-Fatihah,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 31/7/2025











