
KUALA LUMPUR: Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) dalam sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat hari ini membangkitkan isu tanggungjawab sebenar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) yang menurutnya perlu diteliti secara lebih menyeluruh.
“Saya nak ingatkan bahawa salah satu daripada tanggungjawab KPDN ini bukan sahaja melibatkan perniagaan, yang melibatkan soal yang berkait dengan nama kepada Kementerian Kos Sara Hidup,” ujarnya dalam soalan tambahan.
Beliau mempersoalkan sama ada wujudnya satu terma rujukan rasmi berhubung tugas kementerian ini benar-benar menjurus kepada menangani isu kos sara hidup rakyat yang semakin membebankan.
Menurut beliau, peningkatan kos sara hidup tidak hanya tertumpu kepada sektor perniagaan, malah turut melibatkan aspek penting lain seperti makanan dan minuman (F&B), kesihatan, dan pendidikan.
“Jadi saya mohon supaya dikeluarkan satu saja daripada kos-kos sara hidup yang tinggi ni, umpamanya berkait dengan soal makanan dan minuman supaya sekurang-kurangnya rakyat dapat untuk meletakkan makanan dan minuman di atas meja,” tegas beliau.
Dungun berharap penjelasan yang konkrit dapat diberikan berhubung skop tugas kementerian agar rakyat tidak terus terhimpit dalam suasana ekonomi kian mencabar.
Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, soalan dikemukakan itu dilihat mengandungi beberapa isu berbeza dan tidak selari dengan soalan asal telah dikemukakan.
“Jadi mungkin kita boleh berjumpalah berbincang ataupun Yang Berhormat boleh ajukan di waktu ketika yang lain berkenaan dengan kos sara hidup ini,” jawab beliau.
Wan Hassan dalam soalan asalnya meminta Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup menyatakan sejauh mana Kementerian bersedia menangani kesan berganda terhadap peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST).
Juga kesan kenaikan tarif elektrik baharu mulai 1 Julai 2025 serta jaminan bahawa Ops Kesan 4.0 bukan sekadar langkah kosmetik dalam membendung kenaikan harga dan pencatutan. – HARAKAHDAILY 31/7/2025











