
KUALA LUMPUR: Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad mencabar Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim agar membubarkan Parlimen dan mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) bagi membuktikan sokongan rakyat terhadap kepimpinannya.
Menurut beliau, Anwar tidak sepatutnya takut untuk berdepan PRU sekiranya yakin masih mendapat kepercayaan rakyat dan majoriti Ahli Parlimen.
“Kalau Anwar betul-betul berani, bubar sahaja Parlimen dan adakan PRU sekarang. Dia tak perlu takut kerana konco-konconya melapor hanya 15,000 orang hadir perhimpunan. Dia tentu menang.
“Dengan PRU, Anwar akan tahu rakyat sokong dia atau tidak. Anwar bukan pilihan rakyat untuk jadi Perdana Menteri. Dia jadi PM kerana menghentikan perbicaraan seorang pemimpin supaya ia boleh bawa partinya sokong Anwar,” ujarnya dalam kenyataan hari ini.
Tun Dr Mahathir turut mengulas cabaran Anwar agar pihak lawan membawa usul undi tidak percaya di Dewan Rakyat sekiranya mahu menjatuhkan kerajaan.
“Tetapi, semua Ahli Dewan Rakyat yang sokong Anwar amat takut akan tindakan yang akan diambil kepada mereka jika mereka tidak sokong Anwar apabila usul tidak percaya dibawa oleh pihak lawan.
“Ada antara penyokong Anwar yang akan kena penjara jika tidak diselamat oleh Anwar. Ada juga yang akan hilang peruntukan jika tidak sokong Anwar,” jelasnya.
Beliau menjelaskan bahawa wakil rakyat yang menyokong Perdana Menteri berbuat demikian kerana rasa takut dan bukan atas dasar kebebasan atau kepercayaan.
“Sebab itu Anwar boleh menang kalau usul tidak percaya kepadanya dibahas dalam Parlimen,” ulasnya lagi.
Tun Dr Mahathir turut berkata terdapat ugutan terhadap ahli Umno yang menyertai perhimpunan besar-besaran baru-baru ini.
“PRU boleh tentukan sokongan oleh rakyat benar dan demokratik. Oleh itu bubarlah Parlimen dan adakan PRU sekarang,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2025











