
KUALA LUMPUR: Pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) bukan perkara baharu tetapi telah wujud di negara ini sejak era 1960-an.
Mohd Misbahul Munir Masduki (PN–Parit Buntar) berkata, inisiatif awal sistem pendidikan tersebut menjadi asas kepada pembangunan kemahiran pelajar.
Namun katanya, perlu dimurnikan semula sejajar keperluan semasa negara yang berdepan kekurangan tenaga jurutera dan pakar teknologi kecerdasan buatan (AI).
“TVET bukan perkara baru sebab sejak tahun 60-an lagi waktu kita bersekolah menengah ada subjek namanya Seni Perusahaan dan Sains Rumah Tangga sehingga Tingkatan 3.
“Bahkan apabila pelajar-pelajar gagal dalam Sijil Rendah Pelajaran (SRP), mereka boleh melanjutkan pelajaran dalam bidang vokasional dan pertanian sebab tak layak untuk masuk Tingkatan Empat aliran sastera ataupun sains,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika mengemukakan soalan tambahan semasa sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, di sini hari ini.
Beliau membangkitkan kebimbangan terhadap arah tuju dan keberkesanan pendidikan TVET negara dalam menangani kekurangan kira-kira 10,000 jurutera dan pakar Kecerdasan Buatan (AI) tempatan.
Menurutnya, perkara itu memerlukan satu anjakan menyeluruh, selain turut diketengahkan termasuk ketidakselarasan silibus, standard latihan dan prosedur permohonan.
Katanya, ia apabila TVET diletakkan di bawah pelbagai kementerian seperti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Sumber Manusia (KSM) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
“Persoalannya, oleh kerana TVET dikenalkan oleh pelbagai kementerian seperti KPT, KPM, KSM dan KBS menyebabkan silibus dan standard berbeza serta proses permohonan yang mengelirukan pelajar.
“TVET juga mengalami masalah kekangan sumber dan kekangan jurulatih tanpa pengalaman industri dan sebagainya,” katanya lagi.
Dalam masa sama, beliau menegaskan perlunya TVET tidak hanya menumpukan kepada aspek teknikal semata-mata, tetapi juga perlu membentuk jati diri, sahsiah serta nilai moral dalam kalangan pelatih.
Menurutnya, mereka bukan sahaja menjadi tenaga kerja mahir, tetapi juga insan berperibadi dan menyumbang kepada pembangunan masyarakat.
“Dan satu lagi, dalam usaha kita melahirkan lebih ramai pakar AI tempatan, bagaimanakah kerajaan memastikan jurutera ini bukan sahaja berkemahiran teknikal dan teori semata-mata.
“Tetapi turut berperanan dan berkemahiran untuk menerapkan nilai-nilai murni ataupun moral, budaya, sejarah dalam subjek yang diajar?
“Supaya pelajar-pelajar TVET bukan sahaja dapat peluang pekerjaan yang baik melalui mana yang ada, tapi mempunyai jati diri, sahsiah dan keperibadian yang mulia,” ujarnya.
Menjawab soalan tersebut, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Dato’ Sri Abdul Rahman Mohamad mengakui sebahagian besar kebimbangan yang dibangkitkan Parit Buntar adalah tepat dan sememangnya sedang diberi perhatian oleh kerajaan menerusi pelbagai inisiatif serta program latihan kemahiran yang dijalankan.
“Sebahagian daripada apa yang disebutkan oleh Yang Berhormat dari Parit Buntar tadi ada kebenaran. Di dalam Kementerian Sumber Manusia, kita telah melaksanakan berbagai program.
“Sehingga Jun 2025 sahaja, kita telah melibatkan sebanyak 2.2 juta pelatih penuh telah dikeluarkan Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK) melalui pensijilan kemahiran,” katanya.
Terdahulu, pada soalan asal, Mohd Misbahul Munir meminta pihak Kementerian Sumber Manusia menyatakan langkah konkrit kerajaan untuk menangani kekurangan kira-kira 10,000 jurutera dan pakar AI di Malaysia.
Ini termasuk pelan peningkatan latihan TVET, kerjasama dengan industri teknologi global serta insentif untuk menarik dan mengekalkan bakat AI tempatan. – *HARAKAHDAILY 31/7/2025*











