
TANAH MERAH: Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanah Merah telah menjalinkan kerjasama strategik dengan Polis Daerah Tanah Merah bagi menyekat penularan gejala dadah dalam masyarakat sehingga peringkat akar umbi.
Ketuanya, Muhamad Farhan Samsuddin berkata, tugas itu bukan digalas pihak berkuasa sahaja, sebaliknya ia merupakan tanggungjawab bersama rentas kaum, agama dan politik selain tidak menuding jari kepada pihak lain.
Bagi mencapai hasrat itu kata beliau, tiga inisiatif dirangka bagi membantu pihak berkuasa menerusi penganjuran program kesedaran, kempen di media sosial dan penglibatan belia dalam program komuniti.
“Kami tidak mahu hanya menjadi penonton atau tukang kritik dari jauh. Sebaliknya, kami ingin bersama-sama membina tapak penyelesaian, semua berisiko jika tiada sistem nilai dan perlindungan sosial yang kukuh.
“Dalam dunia terbuka hari ini, anak-anak tidak perlu keluar rumah untuk ‘terbabas’. Pengaruh negatif mengalir deras ke dalam bilik mereka melalui gajet dan media sosial,” katanya.
Terdahulu kepimpinan tertinggi Dewan Pemuda PAS Kawasan Tanah Merah melakukan kunjungan hormat kepada Ketua Polis Daerah, Supt Mohd Haki Hasbullah bagi menyatakan komitmen untuk bersama dalam agenda itu.
Pada pertemuan itu katanya, polis mengakui mengenai realiti sebenar, bukan sekadar angka dan statistik kepada gejala sosial, tetapi peningkatan kes membabitkan remaja yang memerlukan perhatian serius.
Beliau berkata, pendedahan tersebut memerlukan usaha pencegahan dan intervensi yang lebih awal perlu digerakkan secara kolektif kerana penyalahgunaan dadah bukan masalah untuk digalas oleh satu pihak sahaja.
“Seperti ditegaskan pimpinan negara kita, ia bukan beban negeri semata-mata, atau tugas mutlak pihak berkuasa, tetapi ia tanggungjawab bersama untuk duduk semeja cari jalan penyelesaian secara bersama.
“Peringkat kerajaan negeri sebagai contoh, sekian lama memberi keutamaan pendidikan, dakwah, pembinaan keluarga dan aktiviti pencegahan sebagai benteng utama masyarakat daripada gejala dadah,” katanya.- HARAKAHDAILY 31/7/2025











