Kerajaan hari ini teruskan agenda utama Kerajaan PN

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pindaan Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), mewajibkan pendidikan menengah merupakan agenda utama kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang gagal diteruskan akibat pembubaran Parlimen dan Pilihan Raya Umum 15.

- Advertisement -

Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin (PN-Putrajaya) berkata, beliau mengucapkan tahniah kepada kerajaan hari ini kerana meneruskan hasrat murni yang terkandung dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) 2013-2025.

Menurutnya, PPPM 2013-2025 merupakan satu pelan strategik untuk mentransformasikan sistem pendidikan negara bagi meningkatkan kualiti, akses, ekuiti, perpaduan dan kecekapan bermula pra hingga pendidikan tinggi.

“Pelan ini dilancarkan sewaktu Tan Sri Muhyiddin Yassin (PN-Pagoh) menjadi Menteri Pendidikan ketika itu dan sewaktu saya di kementerian ini dahulu, usaha membuat pindaan ini menengah wajib ini telah dimulakan.

“Tahniah saya ucapkan kepada semua pihak yang terlibat dalam menyelaraskan pindaan ini termasuk, yang tidak lagi berada di Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), semoga ada amal jariah buat kalian semua,” katanya.

Naib Presiden BERSATU itu dalam sesi perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 di Dewan Rakyat di sini semalam turut membangkitkan status institusi pendidikan persendirian.

Beliau berkata, ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka yang berumur antara 13 hingga 17 tahun ke sekolah persendirian termasuk pondok dan pusat pengajian tahfiz swasta yang semakin mendapat perhatian rakyat.

Menurutnya terdapat beberapa jenis sekolah menengah swasta termasuk sekolah menengah biasa, sekolah antarabangsa dan sekolah agama swasta yang menawarkan pengajian dan pengajaran berbeza aliran perdana.

“Soalan saya selepas akta ini diwartakan, adakah anak-anak yang sedang belajar di institusi pendidikan persendirian yang tidak berdaftar ini akan diberikan pengecualian di bawah akta ini secara automatik.

“Adakah ibu bapa perlu memohon pengecualian bagi anak-anak mereka, adakah mereka dibenarkan berbuat demikian, jika ya, apakah proses yang perlu dilalui bagi membolehkan anak mereka belajar di institusi ini,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2025

- Advertisement -