
KUALA LUMPUR: Kerajaan diminta menyatakan persediaan bagi melaksanakan Rang Undang-Undang (RUU) Pendidikan (Pindaan) 2025 diluluskan di Dewan Rakyat, khususnya membabitkan pengurusan kaunseling pelajar.
Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurazi (PN-Kuala Kedah) berkata, pindaan tersebut mewajibkan pendidikan menengah yang turut merangkumi implikasi kewangan dengan pertambahan prasaran sekolah, jumlah guru apatah lagi pelajar.
Beliau berkata, perkara itu perlu diberi perhatian serius oleh kerajaan melalui Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) ketika gejala sosial dan masalah disiplin kalangan pelajar semakin meruncing saban waktu.
“Dalam hal ini saya ingin mendapat maklum balas pelaksanaan garis panduan pelaksanaan dan pematuhan dasar-dasar perkhidmatan bimbingan dan kaunseling di sekolah, jelaskan tahap kesiapsiagaan bahagian kaunseling KPM.
“Bahagian Kaunseling tentunya menerima kesan peningkatan jumlah kaunselor terlatih dan nyatakan statistik kes yang dikendalikan oleh unit kaunseling sekolah melibatkan pelajar dalam tempoh lima tahun,” katanya.
Bagaimanapun Yang Dipertua PAS Kawasan Kuala Kedah itu menyambut baik inisiatif kerajaan mewujudkan seksyen baharu, 32A dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550), biarpun beberapa penambahbaikan perlu diterapkan.
Ia membabitkan pengubalan peraturan tertentu untuk pastikan pindaan tersebut dapat dilaksanakan secara holistik bagi mewajibkan pendidikan menengah sekali gus dapat mengekang keciciran pelajar selepas darjah enam.
Beliau berkata, situasi tersebut merupakan satu masalah yang serius kerana ia menjadi ‘batu penghalang’ terhadap mobiliti sosial, ekonomi dan memberi kesan negatif kepada pembangunan negara pada masa hadapan.
“Sejauhmana persediaan dilakukan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi memastikan penguatkuasaan pindaan ini dapat memberikan impak besar kepada sistem pendidikan menengah di negara ini.
“Apakah terdapat libat urus yang melibatkan pemegang taruh atau pihak berkepentingan diadakan bagi memastikan pelaksanaan pindaan ini dapat mencapai objektif yang ditetapkan oleh kerajaan,” katanya. – HARAKAHDAILY 31/7/2025











