
ALOR SETAR: Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, penubuhan pasukan baharu Kedah bagi musim 2025-2026 bukan sekadar untuk bersaing di pentas liga, tetapi merupakan satu pelaburan jangka panjang dalam membina ekosistem bolasepak yang lebih lestari dan progresif di negeri itu.
Dalam Majlis Memperkenalkan Penaja dan Pasukan Bolasepak Kedah yang berlangsung di Dewan Seri Melor, Kediaman Rasmi Seri Mentaloon malam kelmarin, beliau menekankan pentingnya asas yang kukuh dalam pembangunan bolasepak negeri.
“Hasrat utama KFA adalah untuk menyediakan lebih banyak platform pertandingan yang kompetitif, khususnya bagi menampung pemain muda dan bakat baharu,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.
Jelas Sanusi selaku juga Menteri Besar Kedah, pasukan baharu yang dibentuk akan mengambil bahagian dalam Liga A1 Semi-Pro anjuran Amateur Football League (AFL), dengan gabungan pemain tempatan, bakat muda serta beberapa pemain import.
Menurut beliau, langkah ini adalah sebahagian daripada Pelan Pembangunan Bolasepak Kedah, yang menyasarkan pembinaan pemain berkualiti, berdisiplin dan berdaya saing untuk mewakili negeri Kedah di masa hadapan atau diserap ke kelab-kelab profesional lain.
Mengulas lanjut, beliau menegaskan pentingnya kerjasama erat antara semua pihak termasuk kelab, penaja, ahli gabungan dan penyokong dalam memastikan kestabilan dan pembangunan sukan ini.
“KFA bukan sekadar pentadbir bola sepak negeri, tetapi pemangkin kepada pembangunan kelab-kelab swasta yang berdaya saing dan mampan dari segi kewangan,” tambah beliau.
Sanusi turut merakamkan penghargaan kepada semua penaja yang tampil memberi sokongan dan menyeru lebih ramai pihak swasta, GLC dan usahawan tempatan agar turut serta menjadi rakan strategik pembangunan bola sepak negeri.
KFA juga, katanya, sedang dalam perbincangan dengan pihak penganjur bagi membolehkan perlawanan Liga A1 diadakan pada waktu malam demi keselesaan para penyokong dan pemain, selain turut mengingatkan bahawa pemain kini memikul harapan rakyat negeri Kedah.
“Setiap perlawanan bukan hanya soal menang atau kalah, tetapi bagaimana anda membawa maruah jersi yang tersemat logo keramat Hijau Kuning dengan semangat, disiplin dan dedikasi,” katanya lagi.
Beliau menyeru agar seluruh warga bola sepak Kedah bersatu hati dalam membina satu era baharu yang berteraskan pembangunan, kerjasama dan cita-cita besar.
“Hijau Kuning bukan sekadar warna, tetapi semangat dan jati diri kita. Ayuh Kedah! Kita bangkit. Kita bina. Kita bersinar,” ujarnya. – HARAKAHDAILY 22/7/2025




















