
KANGAR: Pengasas MISI, Nur Ahmad Faiz Mohd Azmi, 34, telah mengadakan kunjungan hormat kepada Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli di Pejabat Menteri Besar, di sini kelmarin.
Kehadiran beliau itu bertujuan menjelaskan komitmen syarikat Bangsa Bertauhid Sdn Bhd yang berhasrat bertapak dan menggerakkan operasi secara serius di negeri ini.
MISI yang ditubuhkan pada September 2021 itu menyediakan perkhidmatan penghantaran dan pemesanan makanan atas talian oleh penghantar menggunakan motosikal atau kereta.
Menurut Ahmad Faiz, Misi bermula selepas tercetusnya idea untuk mengekalkan makanan yang berharga sama seperti kedai di dalam, menerusi aplikasi penghantar makanan kepada pengguna.
MISI jelas beliau, berusaha membantu penghantar yang selama ini berdepan dengan masalah kadar upah rendah dengan tidak mengambil untung ke atas penghantar.
“MISI juga menyediakan peluang untuk peniaga-peniaga makanan untuk berniaga diatas aplikasinya tanpa meletakkan sebarang cas kepada mereka. MISI telah bergerak lama didalam negara dengan beroperasi dibeberapa negeri termasuk Perlis.
“Matlamat utama MISI adalah untuk memberikan peluang pekerjaan kepada anak Perlis, sekali gus membantu peniaga-peniaga untuk meningkatkan jualan mereka,” ujar anak kelahiran Perlis itu.
Kongsi beliau, fasa pertama dimulakan dengan pembinaan ekosistem MISI menerusi memfokusan kawasan-kawasan yang ada di dalam negeri ini.
Seterusnya kata beliau, MISI berusaha membina pasukannya dan berjaya mendapat penyertaan sebanyak 100 penghantar makanan di mana semua penghantar makanan ini dijangkakan memulakan khidmat mereka pada minggu hadapan.
Mohd Shukri dalam pertemuan tersebut turut menyatakan sokongan kepada usaha Ahmad Faiz dan menitipkan doa kejayaan buat MISI di negeri ini, sekali gus mewujudkan peluang pekerjaan baharu.
“Tolong buat Perlis ni (ini) bagi elok” ujar beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sanglang. – HARAKAHDAILY 5/7/2025




















