
TUMPAT: Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi menyeru agar kawalan sempadan negara terus diperkukuh sebagai langkah strategik jangka panjang bukan sahaja demi keselamatan negara, tetapi juga kesejahteraan sosial dan kemajuan ekonomi rakyat di kawasan sempadan.
Beliau merakamkan penghargaan dan ucapan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), serta semua agensi keselamatan atas kejayaan menumpaskan cubaan penyeludupan pil yaba di kawasan sempadan baru-baru ini.
“Kejayaan ini membuktikan bahawa komitmen dan kerjasama pelbagai agensi dalam memperketat kawalan sempadan telah mula membuahkan hasil dalam menutup pintu-pintu jenayah, kemungkaran dan maksiat yang semakin menjadi ancaman kepada masyarakat,” katanya.
Sebagai Ahli Parlimen di kawasan terletak di sempadan negara, beliau menegaskan bahawa isu keselamatan sempadan bukan hanya soal keselamatan fizikal, tetapi juga soal perlindungan moral dan masa depan rakyat, khususnya generasi muda yang menjadi sasaran sindiket dadah dan jenayah terancang.
Menurutnya, kawalan sempadan perlu diperkasa melalui beberapa langkah konkrit termasuk penambahan dan pembinaan kemudahan logistik di pos-pos kawalan, penempatan anggota yang mencukupi dengan kebajikan yang terjamin, serta pelaksanaan sistem pemantauan berterusan terutamanya di laluan-laluan panas yang sering menjadi sasaran sindiket penyeludupan.
“Inilah antara isu yang sentiasa saya tekankan kepada pihak Kementerian Dalam Negeri. Kita tidak boleh leka atau mengambil ringan isu keselamatan di sempadan. Kegagalan mengawal sempadan bermakna kita membuka laluan kepada kemasukan dadah, pemerdagangan manusia, penyeludupan barang terlarang dan pelbagai lagi bentuk jenayah rentas sempadan yang merosakkan masyarakat,” tegas beliau.
Dalam masa sama, beliau turut mengajak masyarakat setempat agar menjadi sebahagian daripada solusi dengan bertindak sebagai ‘mata dan telinga’ kepada pihak berkuasa. Kerjasama rakyat dalam menyalurkan maklumat sangat penting untuk membanteras aktiviti jenayah yang sering berlaku secara tersembunyi.
“Perjuangan membanteras jenayah ini memerlukan penglibatan semua pihak secara bersepadu dan berterusan. Ini bukan tugas polis atau tentera semata-mata, tetapi memerlukan solidariti seluruh komuniti,” katanya lagi.
Dato’ Mumtaz turut menegaskan bahawa kawalan sempadan yang kukuh bukan hanya mampu menutup pintu kemungkaran, malah membuka lebih banyak pintu kemajuan.
“Apabila sempadan lebih selamat dan terkawal, ia akan membantu mewujudkan pasaran yang lebih bersih untuk produk-produk tempatan, memberi peluang besar kepada para usahawan di kawasan sempadan.
“Ini masa terbaik untuk kita memperkukuh perdagangan sah, mempromosi produk halal tempatan, dan memajukan ekonomi rakyat. Apabila unsur jenayah disingkirkan, rakyat akan berani untuk melabur, berniaga dan membina masa depan lebih cerah,” ujarnya.
Beliau turut menyatakan keyakinan bahawa Tumpat dan Kelantan, sebagai pintu sempadan penting negara, boleh menjadi model pembangunan berasaskan kawalan keselamatan dan ekonomi halal sekiranya semua pihak berganding bahu.
“Saya mendoakan agar Tumpat dan seluruh Kelantan yang menjadi sempadan negara terus menjadi sebuah wilayah yang selamat, diberkati dan sejahtera. Semoga segala usaha membanteras jenayah dan memajukan ekonomi tempatan mendapat keberkatan dan keredhaan Allah SWT,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 5/7/2025











