
KALABAKAN: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) secara meluas kini menekan rakyat, khususnya di kawasan pedalaman Sabah yang sememangnya bergelut dengan kos sara hidup yang tinggi.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS Kalabakan, Aliffakhrullah Roslee menyifatkan SST sebagai beban yang menghimpit rakyat secara senyap namun amat perit kesannya.
“Realitinya di Sabah, khususnya sekitar Tawau, ramai peniaga kecil sudah mula rasa ‘sesak nafas’. Cukai yang pada awalnya dikatakan hanya untuk barangan mewah, kini turut dikenakan ke atas penghantaran barang, insurans, logistik, bahkan penyelenggaraan,” ujar beliau dalam satu hantaran pada laman Dewan Pemuda PAS Kalabakan.
Menurutnya, peningkatan kos dalam rantaian perniagaan ini akhirnya memaksa peniaga menaikkan harga barangan asas, sekali gus membebankan pengguna terutama di luar bandar.
“Bila kos naik, harga barang pun ikut naik. Itu realitinya. Bagi rakyat luar bandar yang tiada banyak pilihan, kenaikan 10 hingga 20 peratus harga bukan sekadar angka malah ia menggugat dapur rumah, persekolahan anak-anak, dan kesejahteraan keluarga,” ujarnya.
Aliffakhrullah turut membangkitkan persoalan keadilan dalam pengagihan hasil negara.
Katanya, Sabah merupakan negeri pengeluar utama minyak dan gas negara yang menyumbang lebih RM11 bilion setahun, di samping menjadi penyumbang besar dalam sektor sawit, koko dan hasil laut.
“Namun satu daripada lima isi rumah di Sabah masih tergolong dalam kategori miskin. Sampai bila Sabah harus jadi penyumbang besar tetapi terus tertindas dalam pembahagian hasil dan pembangunan?” soal beliau.
Tambahnya lagi, Pemuda PAS Kalabakan menegaskan isu itu bukan sekadar soal ekonomi tetapi soal prinsip keadilan dan tanggungjawab kerajaan terhadap rakyat.
“Dulu mereka menolak GST atas alasan membebankan. Tapi kini SST dikenakan secara senyap dan tersembunyi, tetapi kesannya tetap perit.
“Rakyat Sabah tidak meminta lebih, cuma jangan dizalimi dengan sistem yang hanya menguntungkan sebelah pihak,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan agar segera menilai semula pelaksanaan SST dan mempertimbangkan mekanisme pengecualian cukai bagi barangan serta perkhidmatan asas yang memberi kesan langsung kepada rakyat berpendapatan rendah, khususnya di Sabah dan Sarawak. – HARAKAHDAILY 5/7/2025











