
PUTATAN: Kekurangan jururawat di Sabah semakin meruncing apabila dianggarkan sebanyak 1,500 jawatan itu masih belum diisi di hospital dan klinik kerajaan seluruh negeri ini.
Menurut Timbalan Pesuruhjaya 3 PAS negeri, Dr. Afifi Saiffuddin, krisis situasi itu bukan sahaja memberi tekanan kepada petugas kesihatan, malah menjejaskan secara langsung kualiti perkhidmatan kepada rakyat.
Beliau berkongsi situasi seorang jururawat dari Hospital Queen Elizabeth (HQE) Kota Kinabalu, yang hadir sebagai pesakit di sebuah klinik swasta, mendedahkan tekanan luar biasa yang sedang dihadapi.
“Saya mendengar sendiri terdapat jururawat yang terpaksa bekerja dua syif dalam sehari, bermula jam 9 malam hingga 7 pagi, kemudian menyambung syif siang bermula jam 2 petang hingga 9 malam.
“Kekangan tenaga kerja menyebabkan cuti sukar diluluskan, malah ramai tidak dapat menggunakan lebih 20 peratus daripada cuti tahunan mereka,” katanya yang ditemui dalam program Khidmat Pemeriksaan Kesihatan Percuma di Masjid Daerah Putatatan, di sini semalam. (Foto atas)
Dalam program itu, beliau yang juga Penyelaras PAS DUN Tanjung Keramat bersama pasukan kesihatan melaksanakan khidmat pemeriksaan percuma kepada penduduk yang hadir ke masjid untuk menunaikan solat Jumaat.
Dr. Afifi menambah meskipun pihak pengurusan menyatakan situasi masih terkawal, suara daripada lapangan menunjukkan sebaliknya.
“Keadaan ini membangkitkan persoalan sama ada laporan yang diterima oleh pihak atasan benar-benar mencerminkan realiti semasa jururawat di lapangan.
“Antara kesan ketara akibat kekurangan jururawat ini termasuk penurunan kualiti rawatan apabila jururawat keletihan dan tidak mampu memantau pesakit secara menyeluruh,” ujarnya.
Menurutnya, waktu menunggu pesakit menjadi semakin panjang, terutamanya di unit kecemasan dan wad bersalin.
“Kesejahteraan pesakit, khususnya warga emas dan pesakit kronik, turut terjejas apabila mereka tidak menerima rawatan holistik seperti yang sepatutnya,” tambahnya lagi.
Dalam masa yang sama, ujarnya moral jururawat semakin merosot apabila tekanan kerja tidak seimbang dengan sokongan sistem, sekali gus meningkatkan risiko keletihan melampau dan burnout.
Sehubungan itu, beliau menyarankan kerajaan negeri mengambil tindakan segera dengan menilai semula sistem pengurusan sumber manusia dalam sektor kesihatan serta mempercepatkan pengisian jawatan jururawat yang kritikal.
Katanya, tanpa langkah intervensi yang jelas dan berkesan, sistem kesihatan negeri ini bakal berdepan tekanan yang lebih besar, bukan hanya kepada petugas, tetapi juga kepada rakyat yang memerlukan penjagaan. – HARAKAHDAILY 5/7/2025











