Jemaah Andalusia tidak terkandas di KLIA

Ida Riswana dan Dato' Md Daud dalam satu kenyataan rasmi berhubung laporan jemaah umrah yang terkandas di KLIA.
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Pihak Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd menegaskan bahawa tiada jemaah di bawah pengurusan mereka yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), seperti yang dilaporkan oleh sebuah akhbar tempatan hari ini.

Penjelasan itu dibuat bagi merungkai kekeliruan susulan laporan akhbar berkenaan bertajuk “Negara Arab tutup ruang udara: Puluhan Jemaah Umrah Terkandas di KLIA”, yang disiarkan pada 24 Jun 2025.

- Advertisement -

Pengarah merangkap Penasihat Undang-undang Andalusia, Hajah Ida Riswana Idris berkata, penerbangan QR845 yang membawa seramai 22 jemaah umrah telah ditunda dan dijadualkan semula oleh pihak Qatar Airways atas faktor teknikal berkaitan laluan ruang udara. Penerbangan berkenaan dijangka berlepas pada awal pagi 25 Jun 2025 jam 2.55 pagi setelah disahkan selamat untuk beroperasi semula.

“Semua jemaah berada dalam keadaan baik, selesa dan dijaga sepenuhnya oleh pasukan petugas Andalusia,” katanya.

Tambah Hajah Ida lagi, Kedutaan Besar Malaysia di Doha turut mengesahkan bahawa ruang udara Qatar telah dibuka semula, sekaligus memberi laluan kepada penerbangan kembali beroperasi seperti biasa bergantung kepada pengesahan semasa oleh syarikat penerbangan masing-masing.

Langkah Proaktif Lindungi Kebajikan Jemaah

Dalam pada itu, Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Ustaz Haji Md Daud Che Ngah berkata bagi memastikan kebajikan jemaah terjamin sepanjang tempoh penundaan penerbangan, pihak Andalusia telah mengambil beberapa langkah segera termasuk menyediakan penginapan sementara, makanan, sokongan logistik serta saluran komunikasi langsung kepada semua jemaah dan waris.

“Tiada jemaah yang terabai atau terkesan secara negatif sepanjang proses penjadualan semula penerbangan ini,” menurutnya lagi.

Pihak media turut diingatkan agar tidak menyebarkan maklumat tanpa pengesahan rasmi. Orang ramai dan waris disarankan untuk berhubung terus melalui talian hotline Andalusia iaitu 03-9283 1588 bagi mendapatkan maklumat sahih.

Pihak Andalusia dalam kenyataan itu turut mengulangi komitmen mereka untuk terus menjaga amanah serta memastikan ibadah umrah para jemaah berlangsung dengan lancar dan selamat. – HARAKAHDAILY 24/6/2025

- Advertisement -