
JERAI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Limau, Dato’ Ustaz Mohd Azam Abd Samat bergegas turun padang meninjau beberapa lokasi sekitarnya kawasannya yang terkesan dilanda ribut, malam tadi.
Sebaik sahaja selesai program di Alor Setar, beliau terus menziarahi beberapa gerai di hadapan Kolej Komuniti, Guar Chempedak yang rosak akibat kejadian tersebut.
“Saya juga menerima laporan, sebanyak 58 buah rumah sekitar DUN Sungai Limau juga menghadapi kerosakan dilanda ribut.
“Para petugas Pusat Khidmat Wakil Rakyatnya (PKWR) turun meninjau rumah yang terlibat untuk bantuan awal, pagi ini,” jelas beliau melalui muat naik di media sosialnya.
Menurutnya, rumah-rumah terlibat, ada yang bumbung tercabut serta diterbangkan angin, runtuh akibat pokok tumbang dan lain-lain.
Kata Dato’ Azam lagi, penghargaan kepada Angkatan Pertahanan Awam, Pasukan Bomba dan Penyelamat, termasuk Jabatan Amal dan sukarelawan yang bertindak segera untuk memastikan keselamatan penduduk sentiasa terjaga.
“Jalan-jalan pun dah ‘clear’, kerja-kerja mengalihkan pokok yang tumbang dah selesai di beberapa tempat.
“Semoga segala urusan dipermudahkan dan semua pihak diberi kekuatan menghadapi ujian ini,” tambah Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu lagi.
Sementara, mengikut laporan Angkatan Pertahanan Awam, antara kampung yang terlibat ialah Sala Besar, Sungai Daun, Yan dan Singkir.
Kejadian ribut yang lebih daripada 20 minit malam tadi, turut melanda beberapa kawasan lain seperti Kuala Kedah, Jerlun, Padang Terap, Alor Setar, Pendang, Sik dan lain-lain.
Kejadian itu juga telah mengakibatkan kesesakan di lebuh raya Gurun ke Alor Setar kerana pokok tumbang menghalang lalu lintas. – HARAKAHDAILY 24/6/2025












