Sukan menjadi sebahagian silibus PASTI

Mohd Ridzuan bersama pelajar pasti pada Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring Kawasan Arau
- Advertisement -

SUKAN juga menjadi antara medan tarbiah yang berkesan dalam membentuk sahsiah dan kekuatan fizikal pelajar PASTI.

- Advertisement -

Kejohanan Bola Sepak dan Bola Jaring PASTI Kawasan Kangar berlangsung pada Sabtu, 21 Jun di D’Futsal Center, di sini, manakala PASTI Kawasan Arau pula diadakan pada Ahad, 22 Jun, di lokasi sama.

Ia menyaksikan penyertaan meriah serta semangat kesukanan yang tinggi dalam kalangan peserta cilik.

Di KANGAR, pasukan dari PASTI Smart Aulad mempamerkan aksi cemerlang apabila berjaya merangkul kejuaraan dalam kedua-dua acara utama  bola sepak dan bola jaring sekali gus muncul sebagai johan keseluruhan kejohanan.

Majlis perasmian kejohanan disempurnakan oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Kangar, Abdul Jamil Khamis yang memuji komitmen para guru dan ibu bapa dalam menjayakan program tersebut.

Dalam acara bola sepak, pasukan PASTI Smart Aulad Pra Tahfiz muncul juara, PASTI Smart Aulad Anak Cilik A (naib juara), PASTI As Syuhada A (ketiga) dan PASTI M2 Squad A (keempat).

Muhammad Rizqi Muhammad Kamal dinobatkan sebagai pemain terbaik perlawanan akhir serta penjaring gol terbanyak kejohanan.

Bagi acara bola jaring pula, PASTI Smart Aulad Anak Cilik A muncul juara, PASTI Smart Aulad Pra Tahfiz A (naib juara), PASTI Bestari Tarbiyatul Atfal (ketiga) dan PASTI Bestari Al Irsyad (keempat).

Nur Aileen Nazneen Muhammad Zulafif dipilih sebagai pemain terbaik manakala Nur Delisha Adriana Noor Hairol Nizam muncul penjaring terbanyak.

Di ARAU, suasana tidak kurang hebat apabila Kejohanan PASTI Kawasan Arau berlangsung dengan semangat juang tinggi ditunjukkan oleh anak-anak kecil yang berani bersaing secara sihat.

Kejohanan dirasmikan oleh Timbalan Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Ustaz Mohd Ridzuan Hashim.

Dalam ucapannya, beliau menekankan pentingnya sukan sebagai platform membentuk disiplin dan akhlak dalam diri anak-anak.

Katanya, sukan bukan sekadar mengejar kemenangan, tetapi medan membina ukhuwah, kesabaran dan kekuatan jiwa.

Majlis penutup disempurnakan oleh Yang Dipertua PAS Kawasan Arau, Solahuddin Azmi yang turut menyampaikan hadiah kepada para pemenang.

Pasukan PASTI Darul Hikmah MADI tampil mengungguli kejohanan apabila mendominasi kedua-dua acara utama sekaligus membawa pulang gelaran johan keseluruhan.

Dalam bola sepak, mereka mengetepikan saingan sengit daripada PASTI Al-Mahmudiah, Kampung Sena yang menjadi naib juara, PASTI Luqmanul Hakim, Sungai Padang (ketiga) dan PASTI Al-Furqan, Taman Pauh Indah (keempat).

Dalam acara bola jaring pula, PASTI Darul Hikmah MADI sekali lagi cemerlang apabila pasukan utama mereka meraih gelaran juara, diikuti PASTI Al-Fateh, Behor Mali di tempat kedua.

Tempat ketiga juga diraih oleh pasukan kedua PASTI Darul Hikmah MADI, manakala keempat disandang oleh PASTI Al-Huda, Pauh Putra. – HARAKAHDAILY 24/6/2025

- Advertisement -