Penubuhan Israel perisai Barat lindungi aset Timur Tengah

Muhammad Khalil Abdul Hadi
- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Israel merupakan satu entiti yang ditubuhkan bagi menjaga kepentingan Amerika Syarikat (AS) dan negara-negara Barat di rantau Timur Tengah yang kaya dengan sumber alam.

- Advertisement -

Pengerusi Lajnah Antarabangsa dan Hal Ehwal Luar PAS Pusat, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, perkara itu penting kerana Barat tidak mempunyai sumber alam seperti minyak dan gas bumi yang menjadi nadi ekonomi.

“Canselor Jerman beberapa hari lepas membuat satu kenyataan di mana Barat mesti mempertahankan Israel, kerana Israel adalah sebuah negara yang memainkan peranan untuk, istilah yang digunakan ialah ‘buat kerja kotor untuk Barat’.

“Barat yang maju pada hari ini dari sudut ekonomi, teknologi dan lain-lain lagi, kalau kita tengok negara Barat yang paling maju sekali ialah Jerman. Bermacam-macam teknologi yang dibina.

“Namun apa yang menarik ialah Barat tidak mempunyai minyak ataupun gas yang menjadi nadi kepada ekonomi tersebut. Semua ini datang daripada Timur Tengah. Maka, Israel ditugaskan oleh Barat untuk menjaga kepentingan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian menerusi siaran langsung siri “Bicara Isu Perang Iran-Israel: Proksi dan Perang Dingin: Siapa di Belakang Siapa” anjuran Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), malam tadi.

Tegas beliau, AS dan negara-negara Barat selaku sekutu rapat Zionis akan memastikan negara-negara di sekeliling Israel tidak berupaya menandingi kekuatan rejim itu, khususnya dari sudut ketenteraan.

“Sebab itulah Barat memberikan segala macam dari sudut persenjataan kepada Israel bagi memastikan negara haram itu terjaga dan terpelihara. Di sinilah kita lihat apabila Israel buat alasan tujuan serang Iran kerana Iran nak bangunkan teknologi nuklear.

“Kerana Barat tidak mahu ada di sana negara yang boleh menandingi kekuatan Israel. Israel ada senjata nuklear, lebih daripada 200 biji bom nuklear. Siapa yang bantu? Barat. Perancis adalah negara yang membantu Israel membina kekuatan bom nuklear,” tegasnya.

Tambah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Burok itu, sejarah membuktikan bagaimana negara-negara seperti Libya, Iraq dan Syria yang berusaha membina kekuatan senjata telah diserang oleh Israel akibat merasa terancam.

“Sekiranya ia berjaya dibina, maka ia akan menandingi dan mengancam keselamatan Israel, sudah tentulah Barat menyokong. Kita lihat peperangan di Iraq sebagai contoh. Siapa yang sokong? Barat, Amerika Syarikat mengerah ratusan ribu bala tentera.

“Jadi hari ini mereka menganggap Iran adalah ancaman. Cuma di peringkat awal mereka mengambil sikap acuh tak acuh terhadap Iran. Kerana apa? Bagi mereka, ‘tak apalah, kita tak perlu bimbang sangat’.

“Kebimbangan mereka adalah negara-negara Arab yang Sunni, kalau berlaku kebangkitan dan perubahan politik, maka ia akan berjangkit ke negara-negara Arab yang lain,” katanya. – HARAKAHDAILY 24/6/2025

- Advertisement -