Perceraian: Wanita perlu diberi akses ilmu dan sokongan

Wan Badariah Wan Saad
- Advertisement -

KANGAR: Statistik perkahwinan dan perceraian yang kian membimbangkan membuktikan keperluan mendesak untuk memperkasakan wanita dengan ilmu, kefahaman perundangan serta sokongan komuniti, kata Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Negeri Perlis, Wan Badariah Wan Saad.

- Advertisement -

Mengulas laporan Statistik Perkahwinan dan Perceraian Malaysia 2024 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia, beliau berkata, kadar perceraian di negara ini pernah melonjak sebanyak 44.1 peratus pada tahun 2022 berbanding 2021.

Pada tahun 2024, kadar perceraian dalam kalangan wanita adalah 8.0 bagi setiap 1,000 penduduk, lebih tinggi berbanding lelaki iaitu 7.8.

“Antara 2016 hingga 2023, negeri Perlis mencatat peningkatan ketara dalam kes perceraian komuniti Islam, dengan 743 kes pada 2022 dan 654 kes pada 2023,” katanya ketika berucap sempena Program Women’s Talk Siri 1: Hak-Hak Wanita Dalam Perkahwinan yang berlangsung di Dewan Bankuet, Kompleks Pentadbiran Kerajaan Negeri Perlis, hari ini.

Beliau turut mendedahkan bahawa kadar perceraian kasar tertinggi di Malaysia pada tahun lalu direkodkan di Perlis dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, masing-masing pada kadar 2.4 bagi setiap 1,000 penduduk.

Program hari ini, jelas beliau, bukan sekadar medan perkongsian ilmu, malah merupakan sebahagian daripada pendekatan holistik kerajaan negeri untuk memperkasa wanita dari segi kefahaman hak perkahwinan, tanggungjawab dalam institusi keluarga serta pembangunan sahsiah.

“Suara wanita wajar diberi ruang, hak wanita perlu difahami dan dihormati, berlandaskan undang-undang serta berpaksikan prinsip Islam berteraskan al-Quran dan as-Sunnah,” ujar beliau lagi.

Menurutnya, usaha memperkasa wanita tidak boleh bersifat bermusim, sebaliknya perlu dijadikan agenda berterusan.

“Wanita di peringkat akar umbi perlu diberikan akses yang adil dan mudah kepada ilmu, perkhidmatan dan sokongan sosial.

“Usaha ini bukan kerja seorang ia memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), komuniti dan individu yang cakna,” katanya.

Beliau juga menyeru para peserta membawa pulang ilmu yang diperoleh sebagai pencetus perubahan dalam diri dan komuniti.

“Wanita yang berilmu, berdaya dan bermaruah ialah tunjang masyarakat yang sejahtera,” tambahnya lagi.

Program tersebut turut mengupas isu hak-hak isteri dalam perkahwinan, tanggungjawab dalam rumah tangga serta perbincangan berdasarkan kes-kes sebenar. – HARAKAHDAILY 24/6/2025

- Advertisement -