Jemaah Haji Andalusia selamat tiba Malaysia

Jemaah Haji Andalusia yang selamat tiba di KLIA disambut oleh petugas Andalusia serta keluarga masing-masing awal pagi tadi.
- Advertisement -

SEPANG: Seramai 47 jemaah termasuk petugas Kapal Terbang 22B (KT22B) di bawah kelolaan Syarikat pengendali pakej haji dan umrah, Andalusia Travel & Tours Sdn Bhd (Andalusia Travel) selamat tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) jam 5.45 pagi ini, selepas menunaikan ibadah Haji di Tanah Suci.

Petugas Haji Andalusia, Khairul Faizah Md Amin, memaklumkan semua jemaah dalam keadaan sihat dan kini telah kembali bertemu keluarga masing-masing.

“Untuk jemaah Andalusia, dua penerbangan iaitu KT11B (sebelum ini) dan KT22B yang masuk melalui Madinah dan pulang melalui Jeddah sudah pun selamat tiba.

- Advertisement -

“Masih berbaki tiga kumpulan KT yang masuk melalui Jeddah dan akan pulang melalui lapangan terbang Madinah serta CF26 (Commercial Flight 26) dan CF27 pada 1 Julai (nanti),” katanya.

Khairul Faizah

Beliau berkata demikian kepada Harakahdaily di hadapan balai ketibaan domestik, KLIA di sini hari ini.

Menurut beliau, perjalanan ibadah Haji berjalan lancar dan teratur, khususnya ketika berada di Masyair sehingga selesai melontar tiga jamrah di Mina.

“Susunan yang dibuat oleh kerajaan Arab Saudi tahun ini lebih tersusun, dengan pelaksanaan sekatan ketat terhadap visa bukan Haji seperti visa pelancong.

“Sekatan di pintu masuk ke Makkah dan Masjidil Haram menggunakan kad Nusuk menyebabkan ramai yang tidak memiliki visa sah gagal memasuki kawasan suci,” jelasnya.

Tambahnya lagi, suasana sekitar Masjidil Haram tahun ini tidak sesesak dahulu kerana penguatkuasaan tegas tersebut, selain faktor cuaca.

Mengulas mengenai kesihatan jemaah, Khairul Faizah berkata semua berada dalam proses pemulihan selepas hari Masyair dengan hanya mengalami simptom ringan seperti batuk dan demam.

“Masalah-masalah jemaah Andalusia dapat diatasi hasil kerjasama erat antara jemaah dan petugas. Tiada isu besar yang menyukarkan ibadah atau tugasan kami,” katanya.

Petugas Andalusia menyambut kepulangan Jemaah Hajinya.

Jelasnya, penerbangan KT diuruskan sepenuhnya oleh Tabung Haji manakala CF (Commercial Flight) juga di bawah seliaan Tabung Haji, namun tidak melalui proses seperti penempatan di Movenpick.

“Jumlah keseluruhan jemaah Andalusia ialah 555 orang, melibatkan lima penerbangan KT dan 13 CF. CF ini biasanya jemaah individu atau kumpulan kecil, seperti empat atau lima orang,” terangnya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Siasatan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Dato’ Azhar Husein, yang turut menunaikan Haji bersama Andalusia, menzahirkan penghargaan atas khidmat agensi berkenaan.

Dato’ Azhar

“Syukur ke hadrat Allah SWT kerana saya dapat menyempurnakan rukun Haji kelima. Saya ucapkan jutaan terima kasih kepada Andalusia, khususnya Tuan Haji Ibrahim (Pengarah Urusan Andalusia Travel, Ibrahim Mat Sin).

“(Juga) Puan Hajah Ida (Pengarah dan Penasihat Undang-Undang Andalusia, Ida Riswana Idris), Datuk Daud (Pengerusi Eksekutif Andalusia, Dato’ Md Daud Che’ Ngah) dan semua petugas serta mutawif yang sentiasa membantu jemaah,” katanya ketika ditemui Harakahdaily.

Beliau turut menyifatkan segala kekurangan yang ada dapat diperbaiki pada masa akan datang.

“Secara peribadi saya amat berpuas hati dan jika diberi peluang menunaikan umrah, saya tidak ragu-ragu menggunakan khidmat Andalusia sekali lagi,” katanya.

Mengimbas pengalaman sepanjang musim Haji, beliau menzahirkan penghargaan terhadap majlis apresiasi yang dianjurkan Andalusia.

“Majlis apresiasi sangat gemilang dan menjadi kenangan manis. Tiada kenangan pahit, malah setiap ujian adalah sebahagian daripada usaha memperoleh Haji mabrur,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2025

- Advertisement -