
PASIR PUTEH: Ketua Perangkawan Negara, Dato’ Seri Mohd Uzir Mahidin mengadakan lawatan ke Jeram Mengaji Agro Resort, Selising di sini sempena pengabsahan Banci Pertanian 2024 berakhir Oktober lalu.
Rombongan Jabatan Perangkaan Negara (DOSM) turut diberi taklimat mengenai perkembangan sektor agro pelancongan yang diselia oleh anak syarikat kerajaan negeri, Yayasan Amanah Tok Kenali (YTK).

Jeram Mengaji Agro Resort turut mempunyai ladang penternakan lembu susu yang menjadi tarikan utama kepada pelancong dan penduduk tempatan mendapatkan produk tenusu segar seperti susu dan yogurt.
Turut hadir pada majlis itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Dato’ Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail; Pengarah YTK, Ustaz Zulkarnain Hassan dan Pengarah DOSM Negeri Kelantan, Shahrill Abd Rashid.
Sementara itu Tuan Mohd Saripudin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Selising, menerusi satu hantaran di Facebook berkata, pihaknya menyambut baik lawatan kerja Ketua Perangkawan Negara.
Beliau berkata, lokasi tersebut mempunyai potensi untuk dibangunkan khususnya membabitkan perancangan kerajaan negeri untuk menambah lagi penternak lembu susu, arnab dan sektor pertanian lain.
“Lawatan ini membuka ruang untuk melihat sendiri potensi besar kawasan ini sebagai destinasi pelancongan yang berasaskan pertanian dan komuniti disamping memahami nilai kepada ekonomi tempatan.

“Dengan suasana nyaman seakan Kundasang dan tarikan ladang tenusu, aktiviti lasak dan eko pelancongan, tempat ini pasti mampu menjadi model pembangunan luar bandar mampan dan inklusif,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/6/2025











