SIS: Junjung titah, jangan salah guna nama Islam

Sukri Omar
- Advertisement -

SHAH ALAM: Pemuda PAS Selangor merafak taat setia kepada Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah atas ketegasan Baginda mempertahankan kesucian Islam dan menjernihkan kekeliruan berkaitan penyalahgunaan nama ‘Islam’ oleh pihak tertentu.

- Advertisement -

Ketuanya, Ustaz Mohamed Sukri Omar berkata, pihaknya turut menyokong penuh pendirian Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) berhubung keputusan Mahkamah Persekutuan bahawa Fatwa bertarikh 31 Julai 2014 hanya terpakai kepada individu, bukan pertubuhan seperti Sisters in Islam (SIS).

“Kami berkongsi rasa dukacita atas keputusan Mahkamah yang dilihat boleh membuka ruang kepada penyalahgunaan nama Islam oleh entiti yang tidak berautoriti dalam urusan agama.

“Serta berpotensi mengelirukan umat Islam dengan fahaman liberalisme dan pluralisme yang telah difatwakan sebagai sesat dan menyeleweng daripada ajaran Islam,” katanya menerusi satu kenyataan.

Justeru, beliau menggesa agar SIS Forum (Malaysia) menghentikan penggunaan nama ‘Sisters in Islam’ dalam sebarang bentuk penerbitan dan program, selaras dengan gesaan Sultan Selangor semalam.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) diminta agar tidak menghalang pelaksanaan fatwa berkaitan akidah dan syariah yang berada di bawah bidang kuasa negeri seperti yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Umat Islam di Selangor dan seluruh negara juga diseru agar berhati-hati serta menolak sebarang bentuk fahaman yang cuba mencampuradukkan agama Islam dengan nilai asing yang bercanggah dengan nas al-Quran dan Sunnah.

“Pemuda PAS Selangor akan terus bersama MAIS, institusi Raja-Raja, dan seluruh jentera dakwah serta pendidikan Islam dalam mempertahankan akidah umat dan mendidik masyarakat agar kembali kepada manhaj Islam yang sahih.

“Islam tidak pernah menindas, tetapi Islam juga tidak boleh dikaburkan dengan wajah-wajah palsu atas nama hak asasi yang melampaui batas,” katanya.

Mahkamah Persekutuan semalam membenarkan rayuan SIS dan pengasas bersamanya dalam tindakan undang-undang mereka mencabar fatwa dikeluarkan 11 tahun lalu itu oleh Jawatankuasa Fatwa Selangor yang mengisytiharkan pertubuhan itu menyeleweng daripada ajaran Islam.

Sultan Selangor menegaskan bahawa penyalahgunaan perkataan ‘Islam’ dalam nama dan penerbitan SIS Forum (Malaysia) boleh menimbulkan kekeliruan dalam kalangan masyarakat Islam berhubung keputusan berkenaan. – HARAKAHDAILY 20/6/2025

- Advertisement -