
KUALA LUMPUR: Dewan Ulamak PAS Pusat memandang serius cabaran terhadap fatwa dikeluarkan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor pada 2014, yang mengisytiharkan fahaman liberal dan pluralisme agama sebagai menyeleweng daripada ajaran Islam.
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat, Dato’ Ustaz Ahmad Yahaya berkata, meskipun keputusan mahkamah itu disifatkan sebagai kemenangan oleh pihak tertentu, ia tidak membatalkan fatwa berkenaan.
“Keputusan ini hanya menyentuh aspek teknikal dari sudut entiti perundangan, iaitu bahawa fatwa tidak boleh dikenakan kepada ‘artificial person’ seperti syarikat berdaftar.
“Namun tiada satu pun keputusan mahkamah yang menyatakan fahaman tersebut selari dengan prinsip Islam yang sahih,” katanya dalam satu kenyataan media, hari ini.
Beliau turut menyokong penuh ketegasan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang dukacita terhadap keputusan mahkamah dan menggesa agar SIS Forum (Malaysia) tidak lagi menggunakan nama ‘Sisters in Islam’ bagi mengelakkan kekeliruan awam.
Katanya, trend mencabar institusi agama semakin membimbangkan sejak kebelakangan ini selepas kes Nik Elin Zurina Rashid yang mencabar bidang kuasa undang-undang syariah negeri, kini institusi fatwa pula menjadi sasaran.
“Lebih membimbangkan, Seksyen 66A Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Selangor) yang membenarkan semakan kehakiman di Mahkamah Syariah turut diisytihar tidak sah oleh Mahkamah Persekutuan pada 2022,” katanya.
Ustaz Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena turut menyifatkan perkembangan ini sebagai sebahagian daripada usaha yang terancang untuk mencabar kewibawaan institusi Islam, termasuk Mahkamah Syariah dan autoriti fatwa negeri.
“Perjuangan ini belum berakhir. Kita kini memasuki fasa yang lebih mencabar dan memerlukan kesatuan fikrah serta tindakan bersama seluruh umat Islam.
“Dewan Ulamak PAS turut merakamkan penghargaan kepada semua barisan peguam Muslim yang istiqamah memperjuangkan isu ini. Mereka adalah benteng pertahanan syariah yang sedang berada di medan jihad perundangan,” katanya. – HARAKAHDAILY 20/06/2025











