iCON kurangkan jurang bandar dan luar bandar

- Advertisement -

ALOR SETAR: Kerajaan negeri merakamkan penghargaan atas usaha penuh Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) membangunkan projek iCON di dua tempat strategik di Kedah iaitu Yan dan Baling.

- Advertisement -

Kedua-dua lokasi projek itu berada berdekatan dengan lokasi ikonik yang penuh sejarah di Kedah iaitu di kaki Gunung Jerai dan Gunung Baling serta melengkapkan peta pelancongan negeri itu dengan dua destinasi baharu.

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, projek pembangunan iCON Yan telah siap sepenuhnya manakala pembangunan iCON Baling telah mencapai tahap 90 peratus.

“Projek iCON ini merupakan pendekatan baharu yang diterajui oleh NCER untuk mengurangkan jurang pembangunan antara bandar dan luar bandar dengan memaksimumkan potensi kawasan kurang membangun.

“Oleh itu, Yan dan Baling telah dipilih sebagai projek perintis iCON ini,” ujarnya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Kolaborasi Strategik bagi Kemajuan Projek iCON Yan dan Baling, anjuran NCER, di Hotel Raia, di sini hari ini.

Sanusi juga menegaskan, iCON berkonsepkan moden dan terbuka, menjadi pusat pertumbuhan ekonomi yang menyediakan pusat niaga, inkubator perniagaan, ruang acara dan kemudahan asas selesa untuk pelancongan.

Malah katanya, iCON juga boleh menjadi platform terbaik untuk usahawan mengetengahkan tradisi dan keunikan negeri Kedah melalui produk masing-masing.

“Saya yakin, kita ada pelbagai produk dan servis tempatan yang boleh ditonjol dan dikomersialkan kepada pengguna dan pelancong,” katanya lagi.

Dalam pada itu ujar beliau, melalui kerancakkan ekonomi setempat ini, projek iCON ini secara langsung akan mewujudkan peluang pekerjaan baharu kepada penduduk.

Selain memberi limpahan ekonomi kepada kawasan sekitarnya melalui kehadiran pelancong.

“Saya dimaklumkan bahawa ruang niaga di iCON Yan dan iCON Baling telah mencapai tahap 85 peratus tempahan.

“Ini menunjukkan usahawan tempatan kita bersedia untuk meningkatkan tahap perniagaan mereka jika diberikan peluang serta ruang yang sebaiknya oleh kerajaan,” katanya.

Sungguhpun begitu tegasnya, untuk membina infrastruktur baharu, pastinya menghadapi cabaran getir khususnya mengekalkan operasi yang memerlukan sokongan banyak pihak.

Justeru, pihaknya mengambil inisiatif akan mengarahkan agensi kerajaan negeri agar bekerjasama dengan NCER, termasuk agensi Kerajaan Persekutuan yang berkaitan terutama mempromosikan iCON Yan dan Baling.

Tindakan itu katanya, bagi memastikannya projek berkenaan berjaya dan dapat dikembangkan ke daerah-daerah lain di negeri ini.

Selain itu, para usahawan di iCON juga kata Sanusi, perlu memainkan peranan untuk bersama-sama mempromosi dan mengekalkan keunikan kawasan masing-masing.

Usahawan juga ujarnya, perlu menguasai kemahiran pemasaran media sosial seperti TikTok, YouTube, Facebook dan lain-lain.

“Kita berada di zaman digital. Kita tidak boleh malu-malu untuk menjadi influencer atau pempengaruh untuk produk sendiri.

“Selepas ini, bolehlah pakat-pakat mempromosikan jualan secara ‘live’, InsyaAllah, capaian besar media sosial ini akan membantu pertumbuhan perniagaan anda semua,” kata beliau memberi saranan.

Namun beliau yakin, dengan izin Allah, iCON Yan dan iCON Baling akan menjadi antara lokasi pelancongan yang diminati di negeri ini, sekali gus menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Kedah.

Berikutan Kedah mempunyai banyak potensi yang boleh diterokai, beliau amat menggalakkan NCER atau pihak-pihak lain terus memainkan peranan khususnya dalam sektor pelaburan, pelancongan dan pertanian.

Majlis berkenaan turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah,
Dato’ Seri Norizan Khazali dan Ketua Eksekutif NCIA, Dato’ Mohamad Haris Kader Sultan. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -