Operasi PBT Kedah tangkap anjing liar diganggu

- Advertisement -

ALOR SETAR: Orang ramai dinasihatkan agar memberi kerjsama dan tidak menggangu tugas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) menjalankan operasi tangkapan anjing-anjing liar khususnya di kawasan seliaan pihak berkenaan.

- Advertisement -

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Kesihatan, Mejar (B) Mansor Zakaria berkata, terdapat beberapa insiden, operasi itu diganggu oleh orang awam, pemilik haiwan, dan juga pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Saya mendapat laporan, ada pihak yang cuba mengganggu petugas PBT dan menuntut anjing-anjing liar yang telah ditangkap dilepaskan semula ke kawasan awam atau pusat-pusat tertentu.

“Sikap seperti itu bukan sahaja menyulitkan usaha PBT dalam memastikan keselamatan dan kebersihan kawasan, malah turut mencemar imej kawasan PBT di mata umum,” kata beliau pada kenyataannya di sini.

Tegasnya lagi, tindakan menghalang usaha ini bukan sahaja mengganggu kerja-kerja pihak PBT, sebaliknya juga menghalang usaha untuk menjaga kelestarian dan keselamatan awam.

Pemilik haiwan khususnya anjing, juga disarankan agar mengurung dan menjaga haiwan peliharaan mereka dengan baik serta memastikan ia tidak berkeliaran mengganggu orang awam yang boleh mengundang risiko keselamatan.

“NGO yang benar-benar ingin membantu saya menggalakkan untuk bekerjasama dengan PBT. Ambil haiwan yang telah ditangkap dan tempatkan di pusat jagaan yang sesuai.

“Tetapi segala kemudahan dan penjagaan ditanggung sepenuhnya oleh pihak NGO berkenaan,” tambahnya lagi.

ADUN Kuala Ketil itu juga menegaskan, pihaknya tidak mahu NGO atau mana-mana pihak yang kononnya mahu bekerjasama dengan PBT, mengambil haiwan itu tetapi melepaskannya semula ke tempat awam tanpa kawalan.

“Tindakan mengambil haiwan yang tah ditangkap dan kemudian melepaskannya semula ke kawasan awam adalah tidak bertanggungjawab, dan tidak akan dapat menyumbang kepada penyelesaian jangka panjang,” tegas beliau lagi.

Oleh itu, beliau memohon agar semua pihak sama ada orang ramai, pemilik haiwan mahupun NGO, memberi kerjasama sewajarnya, menghormati serta menyokong usaha PBT dalam hal ini.

Usaha PBT ini katanya, adalah bertujuan untuk memastikan kawasan kekal bersih, selamat dan sejahtera di samping bertindak segera secara serius terhadap aduan-aduan yang diterima. – HARAKAHDAILY 10/5/2025

- Advertisement -