Mushaf tulis tangan: Peninggalan terakhir Nurly Shahirah

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: “Arwah suka mengulang, tulis satu al-Quran guna tangan untuk kuatkan hafalan,” demikian luahan penuh sebak Najmuddin Azman, abang kepada Nurly Shahirah Azman, 23.

- Advertisement -

Adiknya itu merupakan salah seorang penuntut Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang menjadi mangsa nahas bas di Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) berhampiran Tasik Banding, awal pagi semalam.

Menurut Najmuddin, adiknya yang merupakan seorang hafizah al-Quran telah menghasilkan mushaf tulisan tangan sendiri sebagai usaha untuk menguatkan hafazan.

Helaian mushaf ditulis sendiri oleh Allahyarhamah, ayat demi ayat, penuh kesabaran dan tanda kecintaan yang mendalam terhadap kalam Allah.

“Antara koleksi arwah tahriri. Arwah suka mengulang al-Quran, dan arwah tulis satu al-Quran guna tangan untuk kuatkan hafalan arwah,” luahnya dalam perkongsian di Facebook, semalam.

Lebih mengharukan, kata Najmuddin beberapa petugas media yang menghubunginya selepas kejadian memaklumkan mengenai bau wangi yang luar biasa di lokasi kemalangan.

“Berpusu-pusu media hubungi aku. Ada yang tanya amalan arwah. Ada yang bagitahu tempat kejadian sangat wangi,” ujarnya sambil menyifatkan hal itu sebagai petanda kebaikan adiknya yang sentiasa menjaga hubungan dengan al-Quran.

Dalam perkongsian itu, Najmuddin turut memuat naik beberapa keping gambar helaian mushaf tulisan tangan arwah yang menjadi saksi kesungguhan dan dedikasi adiknya.

Setiap helaian disusun rapi dan ditulis kemas, menggambarkan betapa arwah benar-benar memelihara hafalan dan amanah suci tersebut.

“Dik, kau jaga al-Quran sangat-sangat baik. Kau tak pernah miss mengulang al-Quran setiap hari. Kami sayang kau, dik. Tenanglah kau di sana. Kita jumpa di syurga ye dik,” luahnya penuh pilu.

Jenazah Nurly Shahirah selamat disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Gong Pasir, Terengganu, sekitar pukul 4 pagi tadi selepas disolatkan di Masjid Hadhari, Jerteh. – HARAKAHDAILY 10/6/2025

- Advertisement -