
KLANG: Ahli Parlimen Kapar, Dr Halimah Ali menyatakan sokongan penuh terhadap bantahan penduduk Kampung Raja Uda (KRU) berhubung cadangan pembinaan sebuah bangunan memorial empat tingkat di kawasan perumahan mereka.
Menurut Halimah, beliau telah menerima salinan memorandum bantahan yang diserahkan oleh penduduk kepada Datuk Bandar Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK), Dato’ Abd Hamid Hussain.
“Tapak yang dicadangkan terletak di Lot 82022, PT 3243 (Lot 29148), PT 3244 (Lot 29146), dan PT 3245 (Lot 29147), Persiaran Raja Muda Musa, dan dirancang untuk didirikan dalam kawasan yang dikhaskan sebagai zon perumahan.
“Saya menyokong penduduk dalam usaha menolak cadangan pembinaan tersebut atas beberapa alasan utama termasuk ketidaksesuaian zon, sensitiviti agama dan potensi gangguan kepada kehidupan harian masyarakat setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima memorandum bantahan oleh penduduk Kampung Raja Uda di Lorong Petola, Kampung Raja Uda, Pelabuhan Klang, di sini hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berkata, kawasan cadangan hanya berjarak kurang 100 meter daripada Masjid Kampung Raja Uda dan juga berhampiran sebuah sekolah rendah agama.
“Maka menjadikan pembinaan memorial itu tidak sesuai dari segi persekitaran dan sensitiviti penduduk yang majoritinya beragama Islam,” katanya.
Selain itu, beliau menerima aduan penduduk yang turut menyuarakan kebimbangan terhadap kemungkinan kesesakan lalu lintas serta gangguan terhadap suasana ibadah, terutama semasa solat Jumaat, Ramadan dan sambutan hari kebesaran Islam.
Beliau selaku juga Pengerusi Biro Perpaduan Negara Perikatan Nasional, turut memberi amaran tentang risiko ketegangan sosial akibat perbezaan budaya dan amalan keagamaan yang mungkin berlaku sekiranya projek itu diteruskan.
“Aspek ini harus diberi perhatian serius bagi memastikan keharmonian penduduk terus terpelihara. Apa-apa yang boleh mencetuskan ketegangan kaum perlu dielakkan sama sekali,” katanya.
Justeru, beliau menggesa pihak MBDK untuk menolak cadangan pembinaan memorial itu demi menjaga keharmonian, ketenteraman dan sensitiviti masyarakat Kampung Raja Uda.
Terdahulu, pemohon projek, ABS Technologies Sdn Bhd telah mengemukakan permohonan kepada MBDK bagi mendapatkan kebenaran merancang untuk membina sebuah bangunan memorial empat tingkat (swasta) dan seunit pencawang elektrik padat (pajakan).
Notis Pandangan Awam yang dipasang di lokasi memaklumkan bahawa permohonan ini masih belum mendapat kelulusan daripada MBDK.
Penduduk yang ingin mengemukakan bantahan diberikan tempoh 21 hari, dari 23 Mei hingga 12 Jun 2025, untuk menghantar pandangan bertulis kepada Jabatan Perancangan Bandar dan Desa, Tingkat 1, Pusat Perniagaan Raya Barat, Jalan Raya Barat, Klang.
Permohonan ini dibuat di atas tanah yang terletak dalam kawasan zon perumahan dan sangat hampir dengan kawasan sensitif seperti masjid dan sekolah agama, sekali gus menimbulkan keresahan dalam kalangan penduduk. – HARAKAHDAILY 10/6/2025











