
TANAH MERAH: Kelantan terus menunjukkan komitmen terhadap pembaharuan sosial berlandaskan syariah dengan penganjuran Sambutan Hari Suami Isteri di Dataran Majlis Daerah Tanah Merah, kelmarin.
Program ini diperkenalkan sejak tahun 2012, menjadi alternatif kepada sambutan Hari Kekasih yang sering dikaitkan dengan budaya tidak selari dengan ajaran Islam.
Rohani Ibrahim menegaskan bahawa sambutan ini memberi ruang kepada pasangan suami isteri untuk meraikan kasih sayang dalam ikatan perkahwinan yang sah.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga dan Wanita itu berkata, hal sedemikian kerana ianya selari dengan fitrah manusia dan tuntutan agama.
“Almarhum Tan Sri Tuan Guru Dato’ Bentara Setia Nik Abdul Aziz pernah menyebut bahawa program ini adalah alternatif Islamik kepada Hari Kekasih yang diraikan tanpa ikatan yang sah,” katanya dalam ucapan perasmian majlis tersebut.
Kelantan, sebagai negeri yang sering mendahului dalam dasar kekeluargaan berteraskan Islam, telah menggubal Dasar Keluarga Mawaddah sejak tahun 2008 bagi membina institusi keluarga yang lebih sejahtera berpaksikan nilai-nilai mawaddah, sakinah, dan rahmah.
“Kerajaan negeri berusaha memastikan setiap dasar yang diperkenalkan dapat membentuk masyarakat yang lebih berakhlak dan menitikberatkan nilai kekeluargaan,” tambahnya.
Dasar ini menyokong pelbagai inisiatif seperti dasar rumah tiga bilik minimum, cuti Jumaat dan Sabtu sebagai hari ilmu dan keluarga, serta pengasingan kaunter lelaki dan wanita di pasar raya.
Pada sambutan kali ini, pelbagai aktiviti dianjurkan untuk memeriahkan majlis, termasuk pertandingan Nota Cinta, pertandingan mewarna kanak-kanak, dan acara khas bagi pasangan suami isteri.
Kehadiran ramai peserta menunjukkan sokongan terhadap usaha memperkukuh institusi keluarga dan mempromosikan nilai-nilai Islam dalam masyarakat.
Namun begitu, Rohani turut menekankan bahawa cabaran sosial seperti hiburan melampau, LGBT, dadah, merokok, ketagihan gajet, buli, keganasan rumah tangga, dan kadar perceraian masih menjadi isu yang perlu ditangani secara berterusan.
Kerajaan negeri akan terus berusaha memperkenalkan pelbagai program pembangunan keluarga yang dapat membantu mendidik dan membimbing rakyat ke arah kehidupan lebih harmoni dan diberkati. – HARAKAHDAILY 2/6/2025






















