Anwar nak jumpa Trump: Sekuel ‘Make America Great Again’ 2.0?

oleh : Sibawaih, pemerhati politik bebas

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Nampaknya Perdana Menteri kita, Datuk Seri Anwar Ibrahim, kembali menghidupkan semangat lama diplomasi surat-menyurat — kali ini dengan mengutus sepucuk surat penuh perasaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump, merayu (atau mungkin merintih?) agar menyokong cadangan mengadakan sidang kemuncak antara ASEAN dan Amerika Syarikat.

- Advertisement -

Barangkali Anwar sudah lama tidak menyelami watak sebenar Trump — atau memilih untuk abaikan hakikat bahawa Trump bukan peminat tegar kepada platform pelbagai hala seperti ASEAN. Trump tetap Trump. Dia lebih suka rundingan dua hala — jenis perjanjian pukul meja, menang-kalah. Mesyuarat ramai-ramai dengan bunga-bunga retorik diplomatik bukan seleranya. Dia lebih selesa dalam bilik yang hanya ada dia dan “the other guy” — supaya mudah dia herdik, gertak, atau keluar kalau rasa bosan.

Tapi kalau Anwar fikir langkah ini boleh jadi ulangan lawatan Najib Razak ke White House pada 2017 — lawatan yang akhirnya jadi bahan lawak global — maka dia sedang syok sendiri. Dengan penuh hormat kepada usaha bekas Perdana Menteri Malaysia itu, Najib mungkin sempat bergambar sakan dan melafazkan ayat manis “kami akan bantu jadikan Amerika hebat semula”, tetapi akhirnya, segala sandiwara itu terbongkar di mahkamah.

Ingat lagi? Najib bersumpah di Parlimen kononnya tak keluar satu sen pun untuk jumpa Trump. Tapi di mahkamah, muncul nama rapper pemenang Grammy yang jadi orang tengah ‘atur pertemuan’. Dan ya, ada ‘kos’ — cuma bukan yang disebut dalam Dewan Rakyat. Tapi biasalah, di Malaysia, seni ‘spin’ itu sudah jadi sebahagian dari kebudayaan pentadbiran.

Kini, Anwar pula mencuba nasib. Tapi situasi kini jauh berbeza. Trump bukan lagi bekas Presiden — dia kini kembali di kerusi Oval Office, tetapi tetap dengan gaya lama. Satu hari sasar China, esok marah Mexico, lusa puji Kim Jong Un. Adakah Anwar fikir Trump akan bangun pagi, baca surat dari Putrajaya dan terus jerit, “Yes, Anwar! ASEAN-US Summit, brilliant idea!”

Realitinya: Trump tak peduli pun. Kalau bukan rundingan dua hala yang beri kelebihan kepadanya, jangan harap dia sudi hadir. Dan kalau benar surat itu dihantar, kita tertanya-tanya — siapa pula orang tengah kali ini? Dan selebriti mana pula bakal disebut dalam perbicaraan akan datang?

Rakyat Malaysia tak minta banyak. Kalau Anwar nak sangat bergambar di White House, silakan. Tempah pakej pelancong VIP. Tapi jangan sampai gadai maruah negara semata-mata untuk satu gambar dan pujian palsu. Lebih baik fokus bantu rakyat yang sedang menanggung harga barang naik, bukan mengejar surat balas dari Trump.

Dalam arena antarabangsa, rekod Anwar lebih banyak retorik daripada hasil. Setakat ini, tak ada satu pun inisiatif besar luar negara yang membawa Malaysia ke hadapan. Dia lebih menyerlah sebagai tetamu forum berbanding pemimpin yang bawa pulang pelaburan atau pengaruh.

Ingat lagi lawatan ke Turkiye? Gaya ada, hasil entah ke mana. Ke Eropah pula? Ucapan indah, balik tangan kosong. Media kerajaan terpaksa kerah tenaga reka naratif supaya tak nampak sangat hampa.

Dan dalam sidang ASEAN atau OIC? Pemimpin lain lantang tentang Palestin, Anwar pula petik Shakespeare. Bila tanya pasal Israel, jawapan dia berubah ikut cuaca. Mungkin inilah Dasar Luar Whateverism — ikut siapa yang taja, ikut siapa yang dengar.

Kalau betul mahu jadi negarawan dihormati, Malaysia sepatutnya sudah pimpin suara Rohingya, bimbing OIC, dan jadi pendesak ekonomi ASEAN. Tapi sayang, Anwar lebih ghairah kejar spotlight — walau terpaksa kejar Presiden Amerika yang lebih mesra ‘deal’ daripada diplomasi.

Akhirnya, pentas antarabangsa bukan tempat untuk selfie dan surat simpati. Ia perlukan keberanian, prinsip, dan strategi. Malangnya, Anwar lebih sesuai jadi pengacara forum sastera daripada jurunegara dunia.

Diplomasi ini permainan dua orang — tapi bukan semua tahu permainannya. Dan nampaknya, Anwar masih main dam aji, sedangkan dunia sudah lama main catur. – HARAKAHDAILY | 1 June 2025

- Advertisement -