Generasi al-Quran pemangkin dasar MBI Kelantan

- Advertisement -

KOTA BHARU: Kerajaan negeri tidak mendabik dada terhadap kejayaan melahirkan sehingga kini berjumlah 5,370 huffaz al Quran melalui sekolah di bawah kelolaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Mohd Nassuruddin Daud berkata, generasi al Quran yang dilahirkan merupakan pemangkin terhadap pelaksanaan dasar ‘Membangun Bersama Islam’ (MBI).

Menurutnya, sejak 1990 dasar itu menerima banyak perubahan bermula ‘Merakyatkan Membangun Bersama Islam’ dan sekarang dibawah pentadbiran beliau, ‘Penghayatan Membangun Bersama Islam’ (PMBI).

“Mereka inilah yang akan menggalas tugas memimpin masyarakat dengan panduan dan nilai-nilai Islam murni menjadi asas membentuk masyarakat takwa berilmu dan teguh mempertahankan prinsip Islam.

“Hal ini sekali gus dapat merealisasikan agenda bertindak kerajaan negeri di bawah pelan strategik PMBI,” katanya pada perasmian Majlis Graduasi Pelajar Tahfiz 2024, di sini pagi tadi.

Turut hadir Timbalan Menteri Besar, Dato’ Dr Mohamed Fadzli Hassan dan Speaker DUN, Dato’ Sri Amar D’Raja Mohd Amar Abdullah serta Exco Pendidikan Negeri, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Meranti itu menjelaskan, apa yang dilaksanakan melalui dasar itu ialah menyuburkan pendidikan Islam membentuk komuniti tunduk dan patuh arahan Allah.

Beliau berkata, kerajaan negeri tidak mahu membangunkan negeri hanya infrastruktur dan angka pertumbuhan sahaja, tetapi ia perlu selari dengan jiwa rakyat bertakwa dan akhlak rabbani.

Bahkan katanya Yayasan Islam Kelantan (YIK) dijadikan tonggak utama bagi membina masyarakat yang berilmu dan bertakwa dengan menjadi tahfiz sebagai agenda pendidikan paling utama.

“Saya menaruh harapan tinggi kepada anda semua agar dapat meneruskan pengajian ke peringkat lebih tinggi dalam pelbagai bidang yang ada, baik aliran agama mahupun bidang profesional.

“Kita mahukan Kelantan terus menjadi penyumbang utama dalam melahirkan doktor, peguam, jurutera, pentadbir, pemimpin dan ahli ekonomi menjadi pelapis kepimpinan masa akan datang,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2025

- Advertisement -