Terkesan kemuliaan hati jiran, rakan pesakit strok

Teladan keprihatinan, kasih sayang sesama insan

- Advertisement -

KUBANG PASU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jitra, Dr Haim Hilman Abdullah melahirkan rasa terkesan yang amat mendalam di lubuk hatinya atas ujian hidup menimpa pesakit strok, Mohd Ghani Abdullah.

- Advertisement -

Menurutnya, pun begitu perkara dilalui Mohd Ghani dan anak tunggalnya, Mohd Fauzan bukan sahaja satu kesedihan bagi beliau, tetapi dalam masa yang sama juga gembira kerana dapat membantu keluarga itu.

Terdahulu, beliau bersama Pengerusi Majlis Ketua Kampung (MKK) Kampung Lahar, Abadi Daud, menziarahi Mohd Ghani yang mengalami serangan strok sejak November tahun lalu.

“Apa yang membuat saya sedih, kehidupan keluarga ini berubah, sejak beliau mengalami strok, Mohd Fauzan yang berumur 13 tahun serta masih bersekolah, terpaksa menempuh hidup tanpa ibu bapa di sisi,” jelasnya.

Mohd Ghani kini dijaga oleh beberapa rakan dan jiran secara bergilir-gilir kerana beliau tidak memiliki saudara mara serta telah lama berpisah dengan isterinya.

“Saya hanya mampu bayangkan perasaan seorang anak kecil yang melalui semua ini dalam usia yang begitu muda. Alhamdulillah, beliau dianugerahkan kawan-kawan dan jiran-jiran kampung yang berhati mulia.

“Kerana kasih sayang mereka jugalah kisah ini sampai kepengetahuan saya,” ujarnya yang juga Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah agak sebak.

Kesempatan berkunjung ke rumah tersebut, Fauzan dibawa oleh pegawai Pusat Khidmat Wakil Rakyatnya membeli cermin mata serta barangan keperluan sekolah sebelum menghantarnya semula ke asrama.

Manakala, pesakit berkenaan dihantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk pemerhatian dan rawatan lanjut sebelum ditempatkan di Pusat Jagaan Insan Tersayang, Sungai Petani.

“Jutaan penghargaan pihak Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), khususnya kepada Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) Dato’ Syeikh Zakaria Othman.

“LZNK bertindak pantas dalam tempoh sehari sahaja untuk memastikan penempatan dan pembiayaan kos jagaan Mohd Ghani disegerakan,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau juga tidak melupakan pengorbanan kawan-kawan serta jiran-jiran pesakit tersebut yang sanggup menjaga beliau sejak terlantar diserang strok beberapa bulan lalu. – HARAKAHDAILY 8/5/2025

- Advertisement -