
KANGAR: Lebih 22,000 akaun pengguna di sekitar Kangar, Kuala Perlis dan kawasan-kawasan berhampiran mengalami gangguan bekalan air sejak semalam berikutan kerja-kerja pengalihan paip utama oleh Syarikat Air Perlis (SAP) yang terpaksa dilanjutkan akibat masalah teknikal.
Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur Negeri, Izizam Ibrahim memaklumkan, kerja-kerja pengalihan paip bersaiz 1000 milimeter jenis Paip Keluli Lembut Berlapis Simen (MSCL) di laluan susur keluar dan masuk dari Jalan Changlun-Kuala Perlis ke Utan Aji asalnya dijadualkan selesai semalam.
“Namun terpaksa diteruskan sehingga awal pagi tadi. Walaupun kerja pengalihan paip telah siap dan injap dibuka semula seawal pagi, berlaku kebocoran pada sambungan paip menyebabkan SAP terpaksa menutup semula bekalan air ke kawasan-kawasan yang terlibat,” katanya kepada Harakahdaily hari ini.
Jelasnya, kerja pembaikan telah dijalankan segera dan selesai sepenuhnya sekitar jam 2 petang, namun pemulihan bekalan masih berjalan secara berperingkat kerana melibatkan jumlah pengguna yang besar.
“Sebanyak 22,994 akaun pengguna terkesan termasuk di kawasan Kuala Perlis, Simpang Empat, Behor Mali, Utan Aji, Tambun Tulang, Sanglang, Sungai Bugis, Bongor Kudong serta sebahagian besar kawasan di Kangar.
“Seperti Jalan Raja Syed Alwi, Jalan Padang Behor, Jalan Kampung Bakau, Behor Temak, Pengkalan Asam, Behor Lateh, Seriab, Jalan Dato’ Ali dan Jalan Penjara Kangar,” ujar beliau.
Menurutnya lagi, projek pengalihan tersebut adalah sebahagian daripada usaha jangka panjang SAP dan Jabatan Kerja Raya (JKR) untuk menggantikan struktur lama yang hanya menggunakan titi simen kecil dan berisiko tinggi kepada pengguna jalan raya.
Katanya, kerja tersebut memerlukan koordinasi rapi antara SAP dan JKR dan pada awalnya dirancang berlangsung dari jam 10 pagi hingga 10 malam. Namun, faktor pergerakan tanah di lokasi kerja menyebabkan jadual asal terganggu dan operasi berlarutan sehingga jam 3 pagi.
Tambah beliau, pihak SAP memohon maaf atas segala kesulitan yang timbul dan berusaha keras memastikan pemulihan sepenuhnya dapat dilaksanakan dalam masa terdekat.
“Kerja-kerja ini sebahagian daripada usaha berterusan SAP dan JKR dalam memastikan jaringan paip air di kawasan berisiko dapat dipertingkatkan dari segi ketahanan dan kestabilan, terutamanya di laluan kritikal yang terdedah kepada aliran trafik tinggi,” katanya.
Bekalan air dijangka kembali normal secara berperingkat selepas semua ujian tekanan paip disahkan selamat dan sistem disambung semula sepenuhnya. – HARAKAHDAILY 8/5/2025














