
KOTA BHARU: Kerajaan negeri menerusi Yayasan Islam Kelantan (YIK) menjalinkan kerjasama dengan sebuah institusi pengajian tinggi di Amman Jordan, Dunia Islam Sains dan Pendidikan (WISE).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Teknologi Hijau, Digital dan Inovasi, Dato’ Wan Roslan Wan Hamat berkata, ia merupakan langkah terbaru membabitkan lepasan tahfiz.
“Peluang pengajian lepasan tahfiz bukan sahaja tertumpu kepada bidang al Quran dan Qiraat, sebaliknya ia telah melangkaui bidang-bidang pengajian lain termasuk bidang sastera dan sains.
“Ini khusus bagi lepas Maahad Tahfiz Sains yang kita tubuhkan dan ini satu langkah sangat positif memastikan pelajar lepasan tahfiz tidak ketinggalan arus pembangunan global,” katanya.
Berucap pada Majlis Graduasi Pelajar Tahfiz 2024 di Hotel Grand Riverviw di sini pagi tadi, ADUN Pengkalan Kubor itu berkata, pada tahun ini seramai 248 pelajar menerima kelulusan.
Ia membabitkan hadiah hafiz dan hafizah terbaik, hadiah al Quran tulisan tangan terbaik, anugerah syahadah 10, 20 dan 30 juzuk, penyampaian ijazah sanad hafazan Syeikh Ahmad al Ramadi.
Selain itu penyampaian anugerah tokoh tahfiz 2024 dan penyampaian sijil khatam hafazan yang telah disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang, Ustaz Mohd Nassuruddin Daud.
Wan Roslan berkata sehingga kini YIK berjaya menambah bilang sekolah berorientasikan tahfiz seluruh negeri membabitkan dua Maahad Tahfiz wal Qiraat dan lima buah Maahad Tahfiz Sains.
Selain itu katanya lagi sebuah Maahad Tahfiz Semi Vokasional dan empat Sekolah Menengah Ugama (SMU) Tahfiz Ikhtisas serta tiga SMU yang mewujudkan aliran tahfiz di sekolah masing-masing.
“Kewujudan pelbagai bentuk sekolah tahfiz ini selaras visi kerajaan negeri untuk lahirkan generasi bukan sahaja alim dalam agama tetapi mahir dalam teknologi dan inovasi,” katanya. – HARAKAHDAILY 8/5/2025





















