Terima komitmen pelaburan RM1 bilion Q1 2025

Terengganu

- Advertisement -

KUALA TERENGGANU: Terengganu terus muncul sebagai destinasi pilihan pelabur apabila menerima komitmen pelaburan berjumlah RM1 bilion sehingga suku pertama (Q1) 2025.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pencapaian itu hasil kerjasama erat antara kerajaan negeri, Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

Menurut beliau, kerjasama tersebut telah berjaya memperkukuh keyakinan pelabur terhadap potensi ekonomi Terengganu. 

“Sehingga Mac 2025, pelaburan yang direalisasikan berjumlah RM729.7 juta serta mewujudkan lebih 1,000 pekerjaan baharu untuk Terengganu. Sektor pembuatan kekal sebagai pemacu utama diikuti oleh pelancongan, pertanian dan perkhidmatan.

“Kami komited untuk memajukan inovasi serta pertumbuhan mampan di seluruh sektor utama dari pertanian sehingga pembuatan berteknologi tinggi bagi mewujudkan pekerjaan berkualiti, merangsang kemajuan ekonomi jangka panjang dan mengukuhkan asas ekonomi negeri,” katanya.

Salah satu pencapaian yang telah dibentangkan dalam Mesyuarat Jawatankuasa Pelaksanaan dan Penyelarasan (ICC) ECER Terengganu ialah penyempurnaan kerja-kerja naik taraf infrastruktur di Taman Biopolimer Kerteh (KBP) di bawah Fasa 4A.

Inisiatif itu bakal memperkukuh peranan KBP sebagai platform nasional bagi pengeluaran bahan termaju, teknologi bersih dan biopolimer.

Ketua Pegawai Eksekutif ECERDC, Datuk Baidzawi Che Mat berkata, penyediaan infrastruktur strategik seperti KBP serta kejayaan menarik pelaburan yang berkualiti menunjukkan komitmen jangka panjang ECERDC dalam membina ekonomi yang berprestasi tinggi dan mampan.

“Pencapaian ini lebih daripada sekadar pembangunan fizikal. Ia mewakili ekosistem yang menyokong inovasi, pertumbuhan terangkum dan melambangkan keyakinan pelabur global,” katanya.

Menurut beliau, KBP mencatatkan sebanyak RM5.1 bilion dalam pelaburan direalisasikan sejak memulakan operasinya pada Jun 2015 dengan permintaan untuk ruang perindustrian yang terus berkembang.

“Bagi menampung permintaan yang semakin meningkat ini, pembinaan Kompleks PKS KBP Fasa 1B kini sedang giat dilaksanakan dan dijangka siap sepenuhnya menjelang Jun 2025.

“Setelah beroperasi, kemudahan ini akan menawarkan unit yang dibina khusus untuk PKS dalam sektor tenaga dan perkhidmatan sokongan selain membantu memupuk ekosistem perindustrian yang berdaya tahan dan berinovasi di Terengganu,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025

- Advertisement -