Cukai taksiran kembali kepada rakyat semula

Dipulangkan sebagai perkhidmatan kerajaan

- Advertisement -

ALOR SETAR: Perubahan ke atas nilaian tanah merupakan perkara penting bagi menjamin keselesaan dan ketenangan hidup rakyat khususnya di bandar raya selaras dengan peredaran masa.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, justeru proses nilaian semula cukai taksiran wajar dilaksanakan mengikut penyelarasan terkini bagi membiayai perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik kepada rakyat.

“Cukai taksiran sebenarnya adalah sumbangan yang digunakan untuk membiayai perkhidmatan diguna setiap hari termasuk kutipan sampah, penyelenggaraan jalan, lampu jalan, taman awam, sistem perparitan dan lain-lain.

“Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahupun Majlis Bandaraya Alor Setar (MBAS) akan sentiasa memastikan sistem yang dilaksanakan adil dan selaras dengan realiti,” katanya.

Beliau menyentuh perkara berkenaan, ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Jamuan Raya Aidilfitri MBAS, ‘Beraya Sakan’ di Jalan Tunku Ibrahim, di sini malam tadi.

Turut hadir, Datuk Bandar Alor Setar, Dato’ Abdul Gafar Yahya dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Seri Norizan Khazali serta beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan Ahli Parlimen berdekatan.

Jelasnya lagi, terdapat prosedur dan saluran tertentu, sekiranya mana-mana pihak atau individu ingin membuat semakan ataupun bantahan dan PBT akan melaksanakan proses ini dengan penuh teliti dan bersedia mendengar pandangan membina dari semua pihak.

“Kutipan yang dilaksanakan akan dipulangkan semula kepada rakyat dalam bentuk perkhidmatan dan kemudahan yang lebih baik,” tambah beliau.

Berikutan itu, beliau amat mengharapkan kerjasama dan sokongan rakyat negeri ini untuk membantu bersama-sama melaksanakan pembangunan untuk Kedah tercinta.

“Dengan semangat ‘Kedah Sejahtera, Nikmat Untuk Semua’, marilah kita bersama-sama mengambil peranan untuk pembangunan negeri dan kemajuan Bandar Raya Alor Setar.

“Jadikanlah Alor Setar bukan sekadar bandar raya di atas kertas, tetapi bandar raya dalam erti sebenar untuk semua golongan dan lapisan masyarakat,” kata beliau lagi. – HARAKAHDAILY 29/4/2025

- Advertisement -