‘Marilah kita bebaskan negara dari ancaman vape’

Demi memelihara jiwa, akal, keturunan, harta dan agama

- Advertisement -

KUALA LUMPUR: Ketua Portfolio Kesihatan Perikatan Nasional, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi menyokong penuh usaha Kerajaan Negeri Terengganu memperketatkan kawalan terhadap vape melalui Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos 2025.

Ahli Parlimen Kuala Langat itu berkata, langkah berani itu melibatkan larangan pemberian lesen penjualan vape; penguatkuasaan tindakan melalui kompaun, penyitaan dan pendakwaan di mahkamah; larangan sebarang bentuk tajaan syarikat vape dalam acara kerajaan negeri; serta pengharaman iklan vape di seluruh negeri.

“Saya pernah bertanya kepada Kerajaan Persekutuan dalam sidang media saya bertarikh 12 Oktober 2023 berkaitan vape. Berapa banyak cukai atas jualan cecair vape telah dikutip sejak 1 April 2023 yang lalu?

“Apakah cukai ini benar-benar berbaloi jika dibandingkan dengan nyawa rakyat yang kini terdedah kepada ketagihan dan penyakit?” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau turut menyatakan kekecewaan dan mengecam tindakan tergesa-gesa kerajaan yang menyahsenaraikan cecair atau gel nikotin daripada Jadual Pertama Akta Racun 1952 tanpa mengambil kira penolakan keras daripada NGO kesihatan, pakar perubatan dan masyarakat madani.

Katanya, keputusan kerajaan itu membuka jalan kepada ketagihan peranti dan kerosakan generasi muda apabila tiada kawalan undang-undang yang kukuh dikenakan.

“Saya menyeru kepada seluruh masyarakat, marilah kita bersama membebaskan negara dari ancaman vape demi memelihara jiwa, akal, keturunan, harta dan agama,” katanya yang juga Ahli Dewan Negeri (ADN) Sijangkang.

- Advertisement -

Terdahulu, Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, berkata langkah itu selari dengan tuntutan Islam agar segala bentuk kemudaratan dicegah sebelum merebak dan merosakkan masyarakat.

“Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, kita wajib memelihara nyawa, akal dan keturunan sebagaimana dituntut dalam Maqasid al-Syariah.

“Tindakan ini bukan untuk menyusahkan rakyat, tetapi demi memastikan rahmat dan kebaikan jangka panjang buat seluruh negeri dan negara,” katanya. – HARAKAHDAILY 29/4/2025

- Advertisement -