
SETELAH sekian lama isu vape menggugat nurani, meniti bibir ke bibir, disyarah keburukannya oleh asatizah di masjid dan surau, dan akhirnya langkah kerajaan Terengganu memberikan senyuman kepada seluruh rakyat. Riuh geger para penjual vape, termasuk digalangi demonstrasi untuk menyuarakan suara hati peniaga vape namun tenggelam dalam sorakan kemenangan NGO serta masyarakat terbanyak.
Kerajaan Terengganu mengambil langkah berani demi menjaga kepentingan serta kemaslahatan rakyat terutamanya anak-anak muda.
Di kampung-kampung tradisional Melayu, anak-anak muda sering berhimpun dengan kepulan asap vape, jelira bercerita, kadang adanya unsur kejelekan sosial dalam keseronokan.
Menurut Dato’ Wan Shukairi Wan Abdullah dalam isu vape ini, perlaksanaan skop penguatkuasaan yang akan berkuat kuasa mulai pada 1 Ogos 2025 melibatkan beberapa segmen arahan dan penguatkuasaan sedia ada seperti berikut:
i) Terengganu akan meneruskan larangan sedia ada, untuk tidak mengeluarkan atau memberikan apa sahaja lesen kepada penjualan vape.
ii) Terengganu akan bertindak tegas mengikut undang-undang kecil yang digubal di bawah Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) berupa hukuman kompaun, sita dan pendakwaan di mahkamah.
iii) Pihak Kerajaan Terengganu tidak akan menerima sebarang bentuk penajaan daripada mana-mana syarikat pengeluar atau pengedar vape bagi apa jua bentuk penganjuran acara yang melibatkan kerajaan negeri atau entiti yang berkaitan dengan negeri.
iv) Kerajaan Terengganu akan mencegah pemaparan imej komersial dengan tidak akan membenarkan sebarang iklan vape di seluruh negeri.
Penulis melihat dengan dekat penyalahgunaan vape dikaitkan dengan dadah sintetik di mana ianya merupakan langkah awal anak remaja terjebak dalam penagihan dadah sejak bangku sekolah rendah.
Pihak Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) sebagai entiti paling hadapan menanggani isu penagihan dadah telah mengesahkan vape menjadi wahana baharu penggunaan dadah sintetik. Pengedar dadah juga mensasarkan penggunaan muda dadah melalui penggunaan vape.
Dato’ Sri Ayob Khan Mydin Pitchay, Timbalan Ketua Polis Negara, telah menyarankan agar pihak kerajaan negeri mengharamkan penjualan vape untuk membanteras ancaman ini. Dalam satu cuplikan Astroawani pada 17 April lalu, beliau juga melihat perlu ada keseriusan dalam menghalangi penjualan vape untuk menanggani isu najis dadah.
Menurut AADK lagi, vape mengandungi dadah ganja sintetik berbahaya. Kajian mendapati bahawa magic mushrooms dalam cecair vape dikesan mengandungi dadah sintetik yang lebih berbahaya daripada psilosibin.
Kerajaan negeri Terengganu bukanlah secara drastik mengambil tindakan mengharamkan vape; beberapa langkah awal telah diambil semenjak tahun 2018 lagi. Langkah ini bertujuan bagi menjaga kebajikan pengusaha vape. Notis awal telah diuar-uarkan agar mereka berganjak kepada bentuk perniagaan lain. Impak vape ini mencapah kepada bahaya hiliran yang lain seperti penyakit sawan, kejadian darah beku, keguguran janin, kegagalan pernafasan, gangguan kepada perut serta usus, pemangkin penyakit kanser, penyebab ketagihan serta kebergantungan fisiologi. Dengan bahasa paling mudah, mudarat vape jauh mendasar berbanding kebaikan daripada hembusan vape walaupun wangian vape menebar pesona kepada anak-anak muda.
Kerajaan negeri Terengganu wajib tegas menjaga anak-anak muda sebagai generasi pewaris perjuangan, melindungi akal serta keterampilan intelektual.
Sehingga kini, negeri ini masih mengungguli pencapaian cemerlang dalam peperiksaan awam negara ini serta terus membidani pelajar genius dalam negara ini.
Gejala penagihan dadah antara isu-isu besar yang memalit contengan kepada negeri jantung hati orang Melayu ini dan vape adalah antara pemulanya. Pastikan tanah Tok Ku Paloh ini bebas daripada budaya hedonisme, sensate culture serta cara hidup bohemian yang meruntuhkan jati diri Muslim. Insya-Allah, negeri-negeri lain juga akan mengikuti jejak langkah Terengganu.
DR RIDUAN MOHAMAD NOR
Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat
Pengerusi LESTARI – HARAKAHDAILY 29/4/2025




















