Ketua Menteri anggap isu integriti satu sandiwara?

- Advertisement -

SAYA kecewa dengan jawapan Ketua Menteri Melaka dalam temubual beliau bersama wartawan semalam.

Ini adalah tuduhan berat. Isu ini melibatkan integriti. Ini bukan sekadar sembang kedai kopi. Isu ini bukan melibatkan orang biasa. Isu ini membabitkan pemimpin besar Negeri Melaka.

YB Datuk Seri Utama Abd Rauf dilihat tidak serius menjawab isu yang melibatkan imej beliau sebagai Ketua Menteri Melaka. Beliau juga tidak menjawab persoalan mengenai perkara ini yang dilontarkan oleh ADUN Sungai Udang di dalam sidang DUN Melaka semalam.

Seolah-olah integriti bukan lagi menjadi asas dalam kepimpinan kerajaan negeri Melaka. Integriti dianggap sebagai bahan jenaka dalam kerajaan negeri Melaka.

Apakah Ketua Menteri tidak melihat lebih dalam kesan buruk yang akan timbul jika tindakan segera tidak diambil?

Imej Ketua Menteri akan terus tercalar jika dibiarkan. Apa lagi bila Ketua Menteri cukup yakin ada banyak lagi bukti yang akan disebarkan oleh dalang isu ini. Busuk nama Ketua Menteri, busuklah nama Melaka.

Akibat isu ini, imej negeri Melaka sebagai destinasi pelancongan dan nama baik Malaysia sendiri akan mendapat tempiasnya kerana Melaka telah dijadualkan menjadi tuan rumah kepada beberapa program yang menjadi tumpuan dunia.

Kesannya, pelabur luar akan hilang keyakinan terhadap kepimpinan kerajaan Negeri Melaka. Hasil negeri dan peluang pekerjaan yang bakal dinikmati rakyat Negeri Melaka akan terus lenyap kerana hilangnya pelaburan asing.

Pokok tak akan bergoyang kalau tidak ditiup angin. Buktikan ini bukan spekulasi. Audio yang disebarkan jelas mengandungi suara yang mirip suara Ketua Menteri Melaka, YB Datuk Seri Utama Abd Rauf.

Bukan tugas Ketua Menteri mengesahkan audio ini adalah manipulasi. Ini adalah tugas pihak berkuasa.

Ketua Menteri Melaka wajib membuat laporan polis untuk melindungi diri. Siasatan forensik harus dilakukan untuk setiap rakaman yang telah tersebar. Dengan ini baru dapat dibuktikan kesahihan rakaman suara ini. Sekaligus dapat membersihkan nama Ketua Menteri Melaka jika benar rakaman suara itu adalah manipulasi.

Datuk Seri Rauf perlu ‘trust the process’. Jangan penafian dibuat tanpa sokongan bukti yang jelas. Kenapa perlu takut jika di pihak yang benar?

Mustahil tidak ada masa untuk ke balai polis untuk membela maruah sendiri yang sedang disiat-siat. Raya pun dah habis.

Dan makin pelik tidak ada seorang pun ADUN kerajaan yang membuat kenyataan menafikan penglibatan YB Datuk Seri Utama Ab Rauf atau membuat laporan polis untuk menjaga reputasi kerajaan negeri Melaka.

Berbagai persoalan yang timbul dikalangan orang ramai, terutama orang Melaka. Saya tegaskan, saya bukan memfitnah.

Demi negeri Melaka tercinta, kerana rasa tanggungjawab terhadap rakyat Melaka, sebagai pemimpin yang dipilih rakyat dan sebagai Ketua Pembangkang saya bertanggungjawab untuk memastikan Negeri Melaka dan rakyatnya dipimpin oleh Ketua Menteri yang bersih, berintegriti dan amanah.

Jika fitnah yang dikatakan sandiwara ini benar-benar berlaku, maka sangat malanglah rakyat Melaka memiliki seorang pemimpin yang korup dan berniat jahat.

Sebagai rakyat Melaka, saya tolak Ketua Menteri yang perasuah.

YB DR MOHD YADZIL YAAKUB
Ketua Pembangkang
Dewan Undangan Negeri Melaka – HARAKAHDAILY 30/4/2025

- Advertisement -
- Advertisement -