
KANGAR: Satu-satunya Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang di Perlis, Gan Ay Ling memuji tahap kebersihan negeri ini, khususnya di kawasan Kangar.
“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada pihak berkuasa tempatan (PBT). Dalam beberapa minggu ini, Perlis, terutamanya Kangar, kelihatan bersih. Saya berharap keadaan ini akan berterusan.
“Saya juga dimaklumkan bahawa tindakan penguatkuasaan telah diambil. Justeru, saya ingin tahu berapa kes telah direkodkan setakat tahun ini,” kata ADUN Indera Kayangan itu ketika mengemukakan soalan tambahan pada sesi soal jawab lisan dalam persidangan Dewan Undangan Negeri, semalam.
Terdahulu, dalam soalan asalnya, Ay Ling meminta penjelasan mengenai perancangan dan pelaksanaan sistem pengurusan sampah di Perlis, memandangkan isu pembuangan sampah, terutama di tepi jalan, masih menjadi masalah berterusan.
Menjawab soalan tersebut, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Asrul Aimran Abd Jalil berkata, kerajaan negeri sentiasa komited menjaga kebersihan dan keindahan persekitaran.
“Antara inisiatif yang diambil termasuklah pelaksanaan kutipan sampah menggunakan tong individu secara berperingkat bagi mengatasi masalah limpahan sampah di tong pusat yang terletak di tepi jalan.
“Dengan adanya tong individu di kampung-kampung, tong pusat yang berhampiran akan ditarik balik untuk mengelakkan pembuangan sampah secara berlonggok,” katanya.
Menurut Asrul, pihak PBT dan SWCorp juga melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan mengikut peruntukan Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Akta 672), selain memastikan kutipan sampah berjalan mengikut jadual.
“Konsesi Environment Idaman juga melaksanakan kutipan tambahan di luar jadual, terutama di kawasan tumpuan semasa musim perayaan. Tong sampah tambahan turut disediakan di lokasi-lokasi tersebut,” tambahnya.
Beliau berkata, SWCorp turut mengadakan sesi libat urus bersama pemilik premis perniagaan serta institusi di bawah Peraturan-Peraturan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (Skim Bagi Sisa Pepejal Komersial, Perindustrian dan Keinstitusian) 2018.
“Di bawah peraturan ini, pemilik premis perlu melantik kontraktor sendiri untuk menguruskan sisa pepejal masing-masing. Bagi setiap penganjuran program, pihak penganjur juga diwajibkan melantik kontraktor kutipan,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 24/4/2025




















