
KANGAR: Buat pertama kalinya dalam sejarah, Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis dimulakan dengan lafaz Ikrar Rukun Negara, menjadikan negeri itu antara yang terawal melaksanakan amalan tersebut selepas Sabah, Selangor dan Perak.
Menurut Speaker DUN Perlis, Ruselee Eizan, lafaz ikrar berkenaan akan dijadikan amalan tetap pada hari pertama setiap persidangan sebagai pembuka rasmi majlis.
“Bagi memastikan Rukun Negara dihayati dan dibudayakan dalam kalangan masyarakat, Jemaah Menteri menerusi mesyuaratnya telah bersetuju supaya lafaz ikrar dilakukan secara penuh, bermula dengan mukadimah ‘Bahawasanya negara kita Malaysia…’ diikuti lima prinsip utama Rukun Negara.
“Dewan ini berbesar hati melaksanakan lafaz ikrar Rukun Negara sebagai cerminan kepimpinan melalui teladan,” ujar beliau.
Namun, bagi Mesyuarat Pertama kali ini, lafaz ikrar dilaksanakan pada hari kedua persidangan, iaitu semalam, selepas bacaan doa dan diketuai oleh Penolong Setiausaha DUN dan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMK), Ts. Mohd Anwar Sahul Hameed.
Langkah ini selari dengan amalan yang diperkenalkan di Dewan Rakyat pada Februari 2024, sebagai usaha memupuk semangat perpaduan, memperkukuh nilai patriotisme serta menghakis unsur kebencian dan rasisme dalam kalangan rakyat.
Pelaksanaan ini dijangka menjadi penanda aras kepada negeri-negeri lain untuk turut menjadikan nilai-nilai kebangsaan sebagai asas penting dalam pentadbiran legislatif. – HARAKAHDAILY 24/4/2025











