Kutipan hasil Kedah meningkat lebih RM769 juta 2024

Dato' Seri Muhammad Sanusi Md Nor
- Advertisement -

ALOR SETAR: Kutipan hasil Kerajaan Negeri Kedah menunjukkan peningkatan yang konsisten saban tahun, sekali gus mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sumber hasil negeri.

- Advertisement -

Menurut Menteri Besar, Dato’ Seri Muhammad Sanusi Md Nor, sehingga 2024, sebanyak lebih daripada RM769 juta hasil kerajaan negeri berjaya dikutip dan merupakan kutipan paling tertinggi sejak negeri itu diterajui Perikatan Nasional (PN).

Jelasnya lagi, pada 2018, hasil negeri berjaya dikutip sebanyak RM559 juta, sementara pada 2019 meningkat RM778 juta.

“Peningkatan hasil pada 2019 itu bukanlah berpunca dari kutipan hasil negeri, tetapi atas peruntukan khas Kerajaan Persekutuan ketika Tun Dr Mahathir Mohamad menjadi Perdana Menteri iaitu sebanyak RM200 juta.

“Walaupun, Pakatan Harapan (PH) yang menerajui Kedah ketika itu berbangga dengan peningkatan itu, tetapi sebenarnya peningkatan itu dari hasil duit ‘çemey’ bukan hasil kutipan,” katanya lagi.

Sementara itu, Sanusi juga memaklumkan, hasil kutipan hasil negeri pada 2020 sebanyak RM520 juta, 2021 (RM668 juta), 2022 (RM596 juta), 2023 (RM629 juta) dan 2024 (RM769 juta).

“Peningkatan ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam memperkukuh sumber hasil negeri bagi mencapai sasaran kutipan hasil sebanyak RM1 bilion menjelang tahun 2028,” jelas beliau menjawab soalan Azhar Ibrahim (PN-Ayer Hitam), pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di Wisma Darul Aman, hari ini.

Azhar pada pertanyaan itu memohon penjelasan jumlah kutipan hasil negeri Kedah bagi tahun 2024 dan sejauh mana kutipan ini menepati hasrat kerajaan untuk mencapai kutipan hasil negeri RM1 bilion menjelang tahun 2018.

Dalam pada itu, Sanusi memaklumkan, kerajaan negeri kini sedang giat melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk mengenal pasti sumber hasil baru yang berpotensi untuk menjana pendapatan negeri.

Jelasnya, ini termasuk mengatur strategi yang strategik untuk memungut hasil negeri yang masih tertunggak dan menambah baik garis panduan sedia ada untuk peningkatan hasil.

“Antaranya menguatkuasakan kutipan duti hiburan bagi aktiviti hiburan yang belum dikenakan duti, dan mengenal pasti hasil-hasil baru serta semakan semula kadar hasil sedia ada bagi jabatan pemungut hasil. Usaha ini memerlukan pendekatan yang sistematik serta pelaksanaan yang berkesan bagi memastikan pertumbuhan hasil yang mampan.” katanya.

Sementara dalam perkembangan yang sama, Sanusi turut menyatakan hasrat kerajaan negeri untuk meneroka sumber hasil baharu di Kedah iaitu nadir bumi, Rear Earth Element (REE).

Namun sehingga kini, jelasnya, galian itu masih belum boleh lagi dilombong berikutan tiada SOP khusus berkenaannya dikeluarkan oleh pihak berwajib.

Selain itu, katanya, kejayaan dalam merealisasikan sasaran ini bergantung kepada kerjasama menyeluruh daripada semua pihak, termasuk jabatan dan agensi kerajaan.

“Komitmen dan usaha kolektif daripada semua pihak amat diperlukan bagi memastikan hasrat kerajaan untuk mencapai kutipan hasil RM1 bilion menjelang tahun 2028 dapat direalisasikan dengan jayanya,” katanya lagi. – HARAKAHDAILY 23/4/2025

- Advertisement -