
TUMPAT: Setiap program sambutan Hari Raya Aidilfitri yang dianjurkan pemimpin Kerajaan Negeri Kelantan, termasuk di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN), mendapat sambutan luar biasa.
Sambutan yang amat menggalakkan turut diterjemahkan oleh anak-anak Kelantan di perantauan sempena Majlis Mesra Aidilfitri Bersama Pimpinan Kerajaan Kelantan.
Majlis yang diadakan di Dewan Yayasan Islam Kelantan (YIK) Tunjong, dekat sini, pada malam raya ketiga baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kelaboran, Mohd Adanan Hassan berkata, sambutan luar biasa itu menandakan sokongan rakyat terhadap kepimpinan kerajaan Kelantan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis Sambutan Aidilfitri anjuran Pusat Khidmat DUN Kelaboran di pekarangan kediamannya, dekat sini, hari ini.
Turut hadir pada majlis itu ialah Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi serta pemimpin masyarakat yang lain.
“Kehadiran mereka seolah-olah menggambarkan sokongan kepada kita.
“Mereka datang bukan untuk makan semata-mata, tetapi ada hasrat yang lebih besar iaitu sebagai tanda sokongan terhadap pemimpin kerajaan negeri hari ini,” ujarnya.
Tambahnya, mungkin ini juga sebagai tanda ‘silent mode’ dan protes terhadap kepimpinan Kerajaan Madani hari ini. – HARAKAHDAILY 3/4/2025






















