Aidilfitri meriah dengan kehadiran pelbagai kaum

- Advertisement -

TUMPAT: Suasana Aidilfitri di Kelantan tahun ini berlangsung dengan penuh kemeriahan apabila masyarakat pelbagai kaum turut serta dalam sambutan yang dianjurkan oleh pelbagai pihak.

- Advertisement -

Menteri Besar, Dato’ Panglima Perang Ustaz Mohd Nassuruddin Daud berkata, rumah terbuka yang dianjurkan bukan sahaja dihadiri oleh umat Islam, malah mendapat sambutan daripada masyarakat bukan Islam di negeri ini.

“Saya buat rumah terbuka baru-baru ini, ia telah dikunjungi oleh pelbagai lapisan masyarakat termasuk kaum Cina, Siam, dan India.

“Alhamdulillah, rakyat pelbagai kaum di Kelantan duduk bersama umat Islam menyambut Aidilfitri bersama-sama dalam suasana yang cukup harmoni,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui sewaktu menghadiri majlis Sambutan Aidilfitri DUN Pasir Pekan, dekat sini hari ini.

Turut hadir menyambut kedatangannya, ADUN Pasir Pekan yang juga Pesuruhjaya PAS Negeri Kelantan, Ustaz Dato’ Bentara Kanan Ahmad Yakob dan Ahli Parlimen Tumpat, Dato’ Mumtaz Md Nawi.

Beliau menzahirkan rasa syukur atas suasana harmoni ini dan berharap ia kekal selamanya di Kelantan dan turut memberitahu, pada hari keempat Aidilfitri, kemeriahan masih berterusan dengan kehadiran masyarakat pelbagai kaum.

Tambahnya, mereka turut mengambil peluang untuk hadir pada majlis-majlis terbuka yang dianjurkan pimpinan kerajaan negeri dan wakil-wakil rakyat, membuktikan perpaduan cukup kukuh di negeri ini.

“Kita ingin jadikan Kelantan sebagai contoh negeri perpaduan antara kaum yang unik dan hebat kepada seluruh negara,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Kelantan.

Ribuan hadir pada majlis sambutan Aidilfitri peringkat DUN Pasir Pekan termasuk anak Kelantan di perantauan yang masih menghabiskan cuti mereka di kampung.

Pelbagai juadah disediakan untuk tetamu antaranya nasi, roti canai, laksa Kelantan dan laksa Penang, kuih-muih dan pelbagai lagi. – HARAKAHDAILY 3/4/2025

- Advertisement -