
KOTA BHARU: Warga Kota Bharu pelbagai kaum dijemput hadir pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Peringkat Parlimen Kota Bharu dan Kawasan Kota Bharu pada 14 April ini di Dewan Jubli Perak, di sini.
Pelbagai juadah hari raya bakal disediakan untuk tetamu, kata Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan selepas menghadiri mesyuarat penyelarasan sambutan majlis berkenaan.
Mesyuarat tersebut dipengerusikan Ahli Dewan Negeri Bunut Payong, Shaari Mat Yaman di Wisma PAS Kota Bharu Berek, di sini 12 malam tadi.
“Tanpa mengira latar belakang, kita menjemput warga sekitar bandar Kota Bharu untuk memeriahkan acara tahunan ini yang dijangka akan turut dihadiri oleh Menteri Besar Kelantan,” katanya.
Beliau menambah masyarakat pelbagai kaum juga dijemput khas, termasuk sami, sebagai simbol perpaduan pelbagai bangsa dan agama yang sekian lama wujud dalam bandar ini.
Menurut Yang Dipertua PAS Kawasan Kota Bharu itu lagi, sebanyak 16 stesen hidangan hari raya akan dibuka, menyediakan menu seperti kambing golek, sate, nasi himpit, nasi hujan panas dan nasi beriani.
Turut dihidangkan katanya, lemang, laksa, laksam, roti jala serta pelbagai kuih-muih dan biskut raya.
Beliau memberitahu, sebanyak 13 jawatankuasa kecil akan berperanan memastikan kelancaran majlis yang bermula jam 11 pagi sehingga makanan yang disediakan habis dijamu kepada orang ramai. – HARAKAHDAILY 3/4/2025











