PELITER @ KSNT 2025 berjaya tarik 170,000 pengunjung

Razali Idris (baju pink) melihat Samsuri bersama isteri memegang pelita yang diperbuat daripada buluh
- Advertisement -

KUALA NERUS: Program Pelita Raya Terengganu (PELITER @ KSNT 2025) terus mencipta kejayaan apabila edisi kali ini berjaya menarik lebih 170,000 pengunjung sejak penganjurannya bermula pada 13 Mac lalu.

- Advertisement -

Memasuki tahun kelima, acara ini bukan sahaja menghidupkan nostalgia suasana Aidilfitri, malah menjadi platform utama dalam memelihara dan memperkenalkan warisan budaya negeri kepada generasi baharu. 

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Dato’ Razali Idris menyifatkan sambutan luar biasa ini sebagai bukti keunikan program yang berjaya menarik perhatian bukan sahaja rakyat tempatan, malah pelancong dari dalam dan luar negara. 

“Edisi kali ini sangat membanggakan kerana tidak hanya menarik penyertaan daripada negara-negara luar seperti Thailand, Indonesia, Myanmar, dan Bangladesh, tetapi juga mendapat sambutan hangat dari negeri-negeri di Malaysia seperti Kelantan dan Perlis.

“Selain itu, penyertaan kaum Cina dan India dari Terengganu, serta masyarakat orang asli dari Sungai Berua, Hulu Terengganu, turut menjadikan program kali ini lebih istimewa,” katanya ketika berucap pada program berkenaan, di Tasik Pekarangan Kompleks Sukan Gong Badak, di sini semalam.

Turut hadir, Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Ir Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengarah Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT), Ahmad Ridwan Abdul Rahman.

Menurut beliau, program ini bukan sahaja mempamerkan keindahan kepelbagaian etnik, tetapi turut menggambarkan semangat perpaduan dan keharmonian antara masyarakat di negara ini. 

“Inilah kehebatan Kerajaan Negeri Terengganu yang mana kita dapat hidup bersama dengan aman dan damai. Alhamdulillah,” katanya.

Bertemakan ‘Membudayakan Khazanah Warisan Kita’, PELITER @ KSNT 2025 menjadi lebih istimewa dengan beberapa penambahbaikan ketara berbanding tahun sebelumnya.

“Promosi yang meluas, kreativiti peserta dalam menghias ruang pameran serta pemilihan lokasi yang lebih strategik dengan kemudahan parkir yang mencukupi telah memberi keselesaan kepada para pengunjung,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, penglibatan lebih daripada 30 reruai makanan yang dikenali sebagai Gerey PELITER menambah daya tarikan acara ini.

“Jutaan terima kasih saya ucapkan kepada pengurusan Payang Walk dan Lokal Ganu Market atas sokongan dan kerjasama yang diberikan,” ujarnya.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri turut berharap agar program itu terus menjadi acara utama dalam Kalendar Acara Pelancongan dan Kebudayaan Negeri Terengganu serta mendapat pengiktirafan dalam kempen Tahun Melawat Malaysia 2026.

“Pihak Kerajaan Negeri amat berbesar hati sekiranya pihak Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya melalui Tourism Malaysia dapat menjadikan program Pelita Raya Terengganu ini sebagai acara utama dalam kalendar acara Tahun Melawat Malaysia 2026,” katanya.

Razali turut menzahirkan penghargaan kepada semua pihak terlibat dalam menjayakan program ini, termasuk Tourism Malaysia, para usahawan, sukarelawan serta rakan-rakan media yang telah memberikan kerjasama penuh sepanjang acara berlangsung. 

“Saya berharap program ini akan terus berkembang dan menjadi kebanggaan rakyat Terengganu. Insya-Allah kita jumpa lagi pada tahun hadapan,” katanya.

Untuk rekod, keputusan pertandingan PELITER @ KSNT 2025 bagi Kategori Jabatan iaitu Agensi & GLC, Lembaga Muzium Negeri Terengganu telah dinobatkan sebagai Johan dengqn membawa pulang hadiah wang tunai berjumlah RM6,000 beserta ‘mock cheque’ dan plak. 

Naib Johan dimenangi oleh Pusat Sains dan Kreativiti Terengganu (PSKT) yang menerima RM4,000, ‘mock cheque’ dan plak, manakala tempat ketiga disandang oleh Kumpulan PMINT yang berjaya membawa pulang RM2,000, ‘mock cheque’ dan plak. 

Pemenang saguhati dalam kategori ini terdiri daripada SUK Kelantan, Perlis, Ketengah dan Terengganu Inc, yang masing-masing menerima RM800, ‘mock cheque’ dan plak sebagai penghargaan atas penyertaan dan usaha mereka dalam pertandingan ini. 

Bagi Kategori Pejabat Daerah, Kuala Nerus mengungguli pertandingan dengan dinobatkan sebagai Johan, membawa pulang RM6,000, ‘mock cheque’ dan plak hasil daripada kreativiti serta keunikan reka bentuk pelita mereka. 

Pejabat Daerah Kemaman pula meraih gelaran Naib Johan dengan hadiah RM4,000, ‘mock cheque’ dan plak, manakala Pejabat Daerah Kuala Terengganu berada di tempat ketiga dengan hadiah RM2,000, ‘mock cheque’ dan plak. 

Bagi pemenang saguhati dalam kategori ini, Pejabat Daerah Marang, Hulu Terengganu, Setiu, Besut dan Dungun masing-masing menerima RM800, ‘mock cheque’ dan plak sebagai penghargaan atas penyertaan mereka. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -