Pemuda Pahang sumbang RM134,000 sempena Aidilfitri

- Advertisement -

KUANTAN: Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang telah menyalurkan sumbangan sebanyak RM134,000 kepada kakitangan di bawah Sektor Pendidikannya sebagai tanda penghargaan menjelang Aidilfitri. 

- Advertisement -

Menurut kenyataan, jumlah sumbangan tahun ini telah meningkat sebanyak RM30,390 berbanding tahun sebelumnya.

Tambahnya lagi, bantuan berkenaan akan diagihkan kepada 1,212 guru dan pembantu guru di institusi pendidikan di bawah naungan Pemuda PAS Pahang.

“Antaranya penerimanya Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI), Sekolah Rendah Integrasi Teras Islam (SRITI), Sekolah Menengah Integrasi Teras Islam (SMITI), dan Maahad Tahfiz Integrasi Sains (MTIS),” katanya.

Ketua Pemuda PAS Pahang, Ustaz Mohd Zarimi Abu Zih Al-Hafiz, telah menyerahkan sumbangan tersebut kepada Ketua Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang, Mohd Khairul Nizam Che Mustofai. 

“Sumbangan ini sebagai salah satu ucapan terima kasih daripada Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang kepada semua guru-guru di bawah Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang.

“Mereka telah bertungkus lumus mendidik anak bangsa yang mengikuti sistem pendidikan di bawah selian Sektor Pendidikan Dewan Pemuda PAS Negeri Pahang.

“Semoga sedikit sumbangan ini dapat memberi kelegaan kepada guru-guru dalam membuat persiapan menghadapi Aidilfitri kelak,” katanya. 

Untuk rekod, pada sesi 2025, seramai 11,723 pelajar mengikuti sistem pendidikan di bawah sektor ini. 

“Pemuda PAS Pahang terus komited dalam memastikan Sektor Pendidikan Pemuda PAS Pahang terus bergerak maju dalam memberi perkhidmatan pendidikan yang terbaik,” katanya. – HARAKAHDAILY 17/3/2025

- Advertisement -